
Tokgurukulan mencoret:
Assalamualaikum pembaca-pembaca sekalian..


"Tuan Guru Haji Loh Lubuk Tapah sedang tenat. Marilah kita sama-sama membacakan YASIN dan mendoakan kesejahteraan beliau. Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang mengetuai bacaan YASIN di rumah beliau sekarang. Moga beliau diberikan kesihatan. Sebar-sebarkan kepada sahabat-sahabat yang lain.".

Terbayang wajah beliau yang lembut dan tenang. Aku lantas menceritakan serba sedikit mengenai tuan guru yang pernah aku menuntut ilmu dengannya itu, kepada isteriku. Sekelumit doa kulafazkan, memohon agar kesihatan dikurniakan kepada beliau untuk terus berbakti kepada masyarakat yang amat memerlukan khidmat beliau.


"Tuan Guru Haji Loh Lubuk Tapah baru meninggal 7.20 pagi tadi."
INNAA LILLAAH WA INNAA ILAIHI ROOJI'UUN. Sesungguhnya kita adalah milik ALLAH dan kepadaNYA lah kita akan kembali. Aku tergamam seketika. Sedih melanda diriku. Sebutir permata yang begitu bernilai sudah diambil kembali oleh ALLAH.



Walaupun tidak banyak ilmu formal yang kami dapat daripada beliau kerana masa kami yang terhad di sana, namun banyak ilmu tidak formal yang dapat kami belajar daripada peribadi beliau sendiri.



Uniknya Tuan Guru Haji Abdullah ialah, beliau mampu menghuraikan kitab-kitab daripada pelbagai cabang ilmu, dan aku suka cara beliau mengolah, walaupun agak tradisional. Beliau sangat dikenali sebagai seorang yang sangat tegas dengan pendiriannya. Beliau juga sering disebut-sebut sebagai tuan guru yang bermulut masin, iaitu, apa yang disebut oleh beliau, pasti akan berlaku. Tentang kebenaran dan kesahihan perkhabaran tersebut, hanya ALLAH jua yang Maha Mengetahui.

Sekarang, semua itu hanya tinggal kenangan. Moga ruh beliau aman di alam yang sudah tidak sama dengan alam kita yang fana ini.
Al-Fatihah..

Artikel ini adalah ihsan daripada blog ini :
http://azlansajirah.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan