Jumaat, Ogos 15, 2008

Apa khabar semua?

Salam kepada semua....

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya dapat menulis semula dalam blog ini. Sejak Kulan sudah berumahtangga, tiada siapa yang menulis lagi. Saya pula sibuk dengan kerja baru saya sebagai admin dan cikgu di sebuah pusat tusyen bertempat di Bandar Kinrara, Puchong.

Sekarang saya tengah develop website untuk pusat tusyen ini. Sila klik sini:http://mutiaraonline.com/ untuk melihat hasil kerja saya. Harap dapat beri pandangan dan tunjuk ajar sebab ini pertama kali saya develop website. Semoga saya ada kesempatan lagi untuk menulis di blog ini. Salam.

-Shah Torpedo-

[+] Baca seluruh artikel..

Khamis, Mac 27, 2008

Pemergian Tuan Guru Haji Abdullah..


Tokgurukulan mencoret:

Assalamualaikum pembaca-pembaca sekalian..

Selasa lepas, 18 Mac 2008 bersamaan 10 Rabiul Awal 1429 H, aku menerima mesej daripada dua orang sahabat lama ketika di maahad dulu, iaitu Kama dan Azman.


"Tuan Guru Haji Loh Lubuk Tapah sedang tenat. Marilah kita sama-sama membacakan YASIN dan mendoakan kesejahteraan beliau. Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang mengetuai bacaan YASIN di rumah beliau sekarang. Moga beliau diberikan kesihatan. Sebar-sebarkan kepada sahabat-sahabat yang lain.".


Terbayang wajah beliau yang lembut dan tenang. Aku lantas menceritakan serba sedikit mengenai tuan guru yang pernah aku menuntut ilmu dengannya itu, kepada isteriku. Sekelumit doa kulafazkan, memohon agar kesihatan dikurniakan kepada beliau untuk terus berbakti kepada masyarakat yang amat memerlukan khidmat beliau.


Pagi esoknya, 19 Mac 2008 bersamaan 11 Rabiul Awal H, Kama mengirimkan satu lagi mesej iaitu berita kematian beliau.

"Tuan Guru Haji Loh Lubuk Tapah baru meninggal 7.20 pagi tadi."

INNAA LILLAAH WA INNAA ILAIHI ROOJI'UUN. Sesungguhnya kita adalah milik ALLAH dan kepadaNYA lah kita akan kembali. Aku tergamam seketika. Sedih melanda diriku. Sebutir permata yang begitu bernilai sudah diambil kembali oleh ALLAH.


Terbayang kenangan bersama sahabat-sahabat maahad suatu ketika dulu, di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Aku bersama-sama dengan Azmi, Salihin, dan Kama telah menghabiskan waktu cuti sekolah (sebelum memasuki tingkatan 4) kami di pusat pengajian pondok tersebut. Di situlah kami mengenali Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, tuan guru di pusat pengajian pondok tersebut. Beliau lahir pada tahun 1934. Jadi, beliau meninggal dunia pada umur 74 tahun.


Walaupun tidak banyak ilmu formal yang kami dapat daripada beliau kerana masa kami yang terhad di sana, namun banyak ilmu tidak formal yang dapat kami belajar daripada peribadi beliau sendiri.


Memang terbukti kealiman beliau berdasarkan pemerhatianku sendiri. Aku mendapati bahawa beliau berkemampuan mengajar banyak cabang ilmu. Aku berhak mengatakan demikian kerana aku juga pernah belajar di Pondok Pasir Tumboh yang tidak berapa jauh dari rumahku di kampung. Habis sekolah pada waktu petang, aku menghabiskan waktu malam di pusat pengajian pondok tersebut. Di sana, jika seseorang guru itu mahir tafsir, beliau hanya mengajar kitab-kitab tafsir. Begitu juga dengan ilmu-ilmu hadith, feqah, tauhid, dan yang lain-lainnya.


Uniknya Tuan Guru Haji Abdullah ialah, beliau mampu menghuraikan kitab-kitab daripada pelbagai cabang ilmu, dan aku suka cara beliau mengolah, walaupun agak tradisional. Beliau sangat dikenali sebagai seorang yang sangat tegas dengan pendiriannya. Beliau juga sering disebut-sebut sebagai tuan guru yang bermulut masin, iaitu, apa yang disebut oleh beliau, pasti akan berlaku. Tentang kebenaran dan kesahihan perkhabaran tersebut, hanya ALLAH jua yang Maha Mengetahui.


Sekarang, semua itu hanya tinggal kenangan. Moga ruh beliau aman di alam yang sudah tidak sama dengan alam kita yang fana ini.

Al-Fatihah..


Artikel ini adalah ihsan daripada blog ini :
http://azlansajirah.blogspot.com/

[+] Baca seluruh artikel..

Selasa, Mac 25, 2008

Dijemput ke blog Azlan & Sajirah..


Tokgurukulan kembali menulis:

Assalamualaikum..

Mohon maaf di atas ketidaksempatan ruang waktu untuk menulis di sini. Mungkin ada ahli-ahli SevenHeroes yang lain akan mencoret jika mereka berkelapangan.

Dijemput ke blog kami suami isteri, Azlan & Sajirah : http://azlansajirah.blogspot.com/

[+] Baca seluruh artikel..

Jumaat, Februari 29, 2008

Blog


Tokgurukulan menulis :

Assalamualaikum..

Hari ke hari, debaran makin terasa. Tinggal hanya 9 hari lagi menuju pernikahanku. InsyaALLAH, selepas selesai semua urusan perkahwinanku, aku akan berkongsi satu blog baru dengan pengunjung-pengunjung sekalian. Blog mengenai kisah atau perjalanan hidup kami (aku dan bakal isteriku) setelah kami bergelar suami isteri yang sah.


Diharap agar kami dapat berkongsi banyak perkara setelah bertukar status ke alam baru. Moga yang baik nanti dapat dikongsi untuk dijadikan teladan, dan yang kurang baik dapat diambil untuk dijadikan sempadan..


Jumpa lagi pada ruang-ruang waktu yang akan datang!

[+] Baca seluruh artikel..

Selasa, Februari 26, 2008

Bizarre dan perkembangannya..


Tokgurukulan menulis :

Assalamualaikum..

Di saat-saat akhir zaman bujangku ini, terasa sayu pula di hati. Di samping teruja untuk memasuki alam baru, bermacam-macam perasaan bercampur-baur. Walau tidak terpancar di wajah, namun gelora di sanubari tiada siapa yang memahami, kecuali orang yang pernah melaluinya. Terasa banyak pula luahan ingin dikongsi dalam blog ini, lantaran perasaan yang tidak menentu ini.


Ahad lepas, 24 Februari 2008, Shah telah mengikuti workshop Dr. Irfan Khairi. Banyak input yang dia dapat, dan dikongsi bersama-sama. Mungkin akan ada idea-idea baru selepas ini, di samping idea untuk melebarkan sayap Bizarre.



Kita kembali seketika kepada beberapa bulan yang lepas, iaitu info mengenai seorang ahli rumah kami, Izuddin. Sebenarnya, Izuddin telah pun balik kampung. Bizarre adalah terdiri daripada kami bertiga, iaitu aku, AbgZahar, dan Izuddin. Izuddin telah meninggalkan kami secara tiba-tiba ketika itu. Tidak lagi ingin meneruskan kerja-kerja production bersama Bizarre.

Ketika itu, aku agak terkesima kerana aku baru sahaja balik dari kampung. Tiba-tiba, dia menghilang tanpa aku diberitahu. Semua tertanya-tanya, sama ada Izuddin balik kampung hanya untuk bercuti, atau tidak akan kembali lagi. Aku tidak mewarwarkan berita ini ketika itu kerana aku masih terasa akan kehilangannya di kala begitu banyak kerja-kerja Bizarre yang selama ini ditanggung bertiga, kini mesti diharungi berdua sahaja.


Jika dia memang ada perancangan lain, aku cuba pujuk diri sendiri supaya menghormati keputusannya. Setelah sekian lama menyimpan rasa ini, rasanya tidak salah jika hari ini aku meluahkannya di sini. Semoga dia menemukan apa yang dicari.


Terasa kuat kembali bila Shah sudi membantu. Kami (aku dan AbgZahar) bercadang untuk menyerahkan urusan marketing Bizarre kepada Shah, dan dia bersetuju. Setelah dia menghadiri workshop tu, nampaknya lebih banyak idea yang dia dapat sumbangkan. Semangat pun nampaknya begitu berkobar-kobar!

Mengenai aku pula, aku tidak akan meninggalkan Bizarre. Aku akan kembali bersama-sama Bizarre selepas selesai semua urusan perkahwinanku nanti.

Terima kasih, Shah. Kita akan sama-sama menjayakan Bizarre kita!

[+] Baca seluruh artikel..

Isnin, Februari 25, 2008

Recording kuliah-kuliah baru ..


Tokgurukulan mencoret :

Assalamualaikum..

Fuh.. Penatnya nak habiskan recording ni. Banyak kuliah baru yang perlu disiapkan recordingnya sebelum bertolak balik kampung hujung minggu ni untuk pernikahanku. Aku akan kembali sebagai seorang suami yang sangat besar tanggungjawabnya..


Nanti bila balik ke Kuala Lumpur semula, kuliah-kuliah ini hanya perlu diedit. Jika ada tempahan, boleh terus diproduce..

[+] Baca seluruh artikel..

Teka-teki 14 ..


Tokgurukulan berteka-teki :

Assalamualaikum..

Cuba teka, haiwan apakah ini?



Gambar di atas adalah gambar semasa babynya.
Jika anda perlukan hint, sila maklumkan di dalam ulasan, ok?


Gambarnya ketika dewasa akan disertakan bila anda sudah dapat jawapannya!

Terima kasih..

[+] Baca seluruh artikel..

Ahad, Februari 24, 2008

Template ditukar lagi ...


Tokgurukulan menukilkan :

Assalamualaikum..

Akhirnya aku berpeluang untuk menulis mengenai template blog ini. Alhamdulillah, setelah mencari dan mencuba, akhirnya aku ketemu cara untuk mengaplikasikan template yang kita dapat daripada mana-mana laman web. Caraku sendiri sebenarnya. Yang paling penting, template yang kita nak guna untuk blog kita tu hendaklah jenis XML Template, bukan Classic Template.

XML Template akan tetap mengekalkan Page Elements dalam layout manakala jika kita menggunakan Classic Template, tidak akan ada lagi Page Elements, menyebabkan sedikit sukar untuk menambah atau mengubah layout kerana mesti masuk ke bahagian seluruh coding. Itu sahaja bezanya.

Sukar untuk diceritakan di sini secara panjang lebar, tapi yang pastinya, banyak juga yang aku belajar dalam proses untuk mengaplikasikannya. Ada perkara yang perlu dititikberatkan ketika ingin mengupload template baru kerana ada nanti coding yang akan hilang. Setelah mencuba dan mencuba, baru aku tahu, dan mencipta sendiri penyelesaiannya.

Secara mudahnya, untuk mengubah apa jua antaramuka dalam blog kita, tidak memerlukan kita memahami keseluruhan coding yang panjang berjela-jela itu, kerana kita hanya download template yang kita nak tu, secara percuma daripada mana-mana laman web, kemudian menguploadkannya kepada blog kita, atau kita copy coding daripada mana-mana laman web yang menyediakan template percuma, kemudian pastekan ke dalam blog kita.

Apa yang perlu kita tahu hanyalah perkara-perkara asas dalam HTML. Dengan itu, kita akan memahami flow sesuatu blog itu berfungsi. Perkara-perkara sebegini memerlukan konsep cuba jaya, dan yang paling penting, minat untuk melakukannnya, kerana dengan minat, segala-galanya boleh berlaku!

Selamat maju jaya!

[+] Baca seluruh artikel..

Sabtu, Februari 23, 2008

Aku dan BIZARRE..


Tokgurukulan menulis :

Assalamualaikum..

Bertemu lagi dalam blog SevenHeroes ini.


Maaf kerana sejak akhir-akhir ini, aku kurang dapat memberikan komitmen yang penuh kepada updating dan penulisan blog. Sama ada aku sibuk dengan urusan di ambang pernikahanku, atau sibuk dengan terlalu banyak tempahan untuk kuliah tafsir Ustaz Kariman. Selain daripada tempahan untuk kuliah-kuliah yang pernah kami (Bizarre Production) keluarkan, ada juga tempahan untuk kuliah-kuliah baru. Alhamdulillah, banyak tempahan. InsyaALLAH, lepas ni akan ada lebih banyak tempahan. Itu semua adalah rezeki. Mungkin rezeki sebab nak kawin, bak kata sesetengah orang, kan? Cuma agak kepenatan untuk menyiapkan tempahan dalam masa yang ditetapkan!


Ok la. Cadangnya banyak lagi nak tulis, iaitu mengenai template baru ni, tapi AbgZahar & Shah ajak main badminton pulak. Kat dewan. Dah tempah awal-awal rupa-rupanya. AbgAizuddin pun ada datang. Mullah pun ada. Aku kena ikut. Semua dah tunggu! Lama jugak rasanya tak main.

Jumpa lagi!

[+] Baca seluruh artikel..

Khamis, Februari 14, 2008

Jemputan walimah Tengku Azlan ..


Tokgurukulan menulis :

Assalamualaikum..

Pertama sekali, maaf dipohon kerana agak lama blog ini tidak diupdate. Mungkin perkara ini terjadi kerana memang selalunya aku lah yang meng'hidup'kan blog ini.


Jika dilihat kepada gambar di sebelah kiri ini, mungkin tidak banyak lah yang perlu dijelaskan kerana besar kemungkinan, ramai yang memahami. Aku sebenarnya agak sibuk dengan urusan pernikahanku. Dari hari ini, ada lagi 22 hari menuju hari akad atau ijab kabulku, iaitu pada 7 Mac 2008 bersamaan 29 Safar 1429 Hijriah. Tidak sampai sebulan. Pelbagai macam perasaan yang aku alami sekarang. Sukar digambarkan, kecuali bagi yang pernah melalui saat-saat sebegini.


Semua pengunjung blog ini dijemput ke majlis tersebut jika berkelapangan. Untuk mendownload e-kad jemputan ini, sila 'Right-click', dan 'Save Target As' atau 'Save Link As' di sini kerana jika terus save gambar di sebelah, gambar tidak jelas.

Terima kasih..

[+] Baca seluruh artikel..

Jumaat, Februari 01, 2008

Menyayangi Iman, Islam dan Ummat Muslimin



Assalamualaikum, Selamat Menyambut Awal Muharram 1429H kepada semua pengunjung blog kami ini(sori lambat), Da’ Seven Heroes. Suasana kami di rumah petang bulan lalu sangat “panas!”. Semua ahli (kecuali Lan dan Iidil, mereka belum sampai dari kampung halaman-ketika itu) terutamanya Abg Zahar dan Izuddin sedang bersungguh-sungguh mengkaji dan meneliti segala hujjah yang dibentangkan dalam sebuah buku yang bertajuk “Akhirat”.

Sebenarnya buku ini di “hadiah”kan kepada saya semasa saya menyelesaikan beberapa urusan saya di seksyen 14, Petaling Jaya. Terkejut juga apabila hendak menghidupkan enjin motorsikal ( kredit pada Pak Ya-motor tu motor dia! ) tiba-tiba, mata saya menangkap imej sebuah buku kecil bertulis “Akhirat – Jalan yang Lurus, Petunjuk dan Terang, Jubah Kebenaran, Pemerintah yang Adil” bersaiz lebih kurang serupa dengan saiz buku 555. Berwarna ungu keperangan dan dihiasi gambar menara sebuah masjid.

“Hmm, bagus jugak budak-budak (pendakwah) sekarang ni, sampaikan dakwah secara agresif. Sampai dalam bakul motor orang pun diletaknya risalah-risalah macam ni!”saya bersangka baik.

Vroom!! Motor Pak Ya dipecut laju.

Namun, apa yang saya menjadi sangkaan saya tadi ternyata salah sama sekali. Apabila berhenti di salah satu lampu isyarat diantara lampu-lampu isyarat yang banyak di PJ( sorry, I’m being sarcastic here! ), saya mengambil masa untuk membaca bahagian permulaan ( introduction ) buku tersebut.

Ya Allah! Rupanya buku yang bertulis “Akhirat” di depannya itu bukannya menerangkan tentang Islam, sebaliknya mengenai Kristian (nama lama:Nasrani). Astaghfirullahalad’zim. Marah, terkejut, dan kecewa, semuanya bercampur baur dalam hati saya. Soalan yang pertama timbul dalam kepala saya ialah,

“Wah! Takkan takde orang yang perasan langsung benda-benda macam ni!“

Dengan minda dan emosi yang semakin memarak dalam jiwa saya, motor Pak Ya dipecut laju, tidak sabar hendak mengkhabarkan berita kepada semua “Heroes” yang ada di rumah. Sampai sahaja di rumah, saya tanpa berlengah lagi terus mem“bentang”kan hasil jumpaan saya kepada siapa lagi kalau bukan Ust Izuddin-Insan yang paling bersemangat apabila berdepan isu-isu Kristinisasi di antara kami ialah Izuddin, that’s why I showed it to him first.

Apalagi, seluruh isi rumah di”kejut”kannya. Dengan penuh semangat dan keimanan di dalam hati untuk membuktikan bahawa semua dakwaan di dalam buku tersbut adalah SALAH dan TIDAK BENAR sama sekali, abg Zahar dan Izuddin membaca buku tersebut dan mengkaji segala ayat Al Quran dan Hadis Sahih (Ya, mereka menggunakan kedua-dua sumber ini ) yang dibentangkan dalam buku itu. Surprisingly, semua ayat Al Quran dan Hadis yang digunakan adalah benar dan betul, tiada satu huruf pun yang tertinggal, TETAPI, terjemahan dan tafsirannya disalah ertikan. Digubah dan diubah supaya sesuai dengan aqidah dan pegangan mereka.

Harus difahami di sini bahawa terjemahan dan tafsiran adalah dua perkara yang berlainan. Terjemahan hanyalah pertukaran bahasa daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa utama di dalam Al Quran kepada bahasa kaum-kaum yang hendak memahami makna Al Quran-contohnya, jika di Malaysia, ianya kepada bahasa Melayu, jika di China, ianya kepda bahasa Cina. Tafsiran pula tidak boleh dilakukan sebarangan. Harus dikaji dengan teliti sebab turun ayat itu (asbabul nuzul), kaitannya ayat itu dengan ayat yang lain di dalam al Quran, kerana jika ayat Al Quran ditafsir tanpa panduan, maka ianya akan di pesongkan mengikut nafsu individu yang mentafsirnya. Oleh itu, haruslah berguru serta dirujuk kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar. Contohnya, Tafsir Ibnu Kathir dan lain-lain.

Tetapi artikel ini bukan ditulis untuk membidas hujah-hujah yang ada di dalam buku tersebut-Insya Allah, jika ada kelapangan, orang yang selayaknya akan mengulas lanjut tentang perkara ini. Saya cuba untuk mengupas isu ini dari sudut yang lain, iaitu permasalahan SIKAP. Bagaimanakah dan apakah SIKAP kita kepada isu-isu seperti ini ? Apabila membaca buku tersebut, saya rasa amat bersyukur kepada Allah azza wa jalla, kerana telah meletakkan saya hidup di dalam keluarga, sahabat dan suasana (saya merujuk kepada suasana di dalam rumah sewa kami ) yang, Alhamdulillah, kuat pegangan agamanya.

Sebaik sahaja saya membaca perenggan kedua mukaddimah buku itu, terus sahaja saya menyedari bahawa buku ini adalah salah satu dakwah Krisitian kepada Muslim di Malaysia. Puncanya hanya kerana satu perkataan sahaja, di tulis begini – « Saiyidina wa Rabboni Isa Al Masih (as) akan muncul » bermaksud « Penghulu dan Tuhan Kami Isa Al Masih (as) akan muncul »

Islam mengangkat dan mengiktiraf semua Nabi dan Rasul sebagai insan biasa, sama seperti kita semua, cuma para Nabi dan Rasul ini dilantik ALLAH melalui perantaraan wahyu oleh malaikat Jibril (as), untuk menyampaikan kepada ummat manusia bahawa Tiada Ilah (Tuhan) yang disembah melainkan ALLAH. Semua Nabi dan Rasul yang dilantik oleh Allah akan menyampaikan perkara yang sama bermula dari Nabi Adam a.s hinggalah kepada Nabi Kita, Muhammad s.a.w. Dan semua kitab yang diturunkan kepada para nabi, hanya menyeru kepada menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Tiada satu pun nabi yang diangkat martabatnya sehingga kepada martabat Tuhan-kecuali oleh Kristian.

Apabila wujud perkataan Rabboni yang di isbatkan (dikaitkan) kepada Nabi Isa, maka sudah jelas ianya adalah aqidah Kristian dan ditolak oleh Islam. Maka, segala isi buku ini harus ditolak 100%. Tetapi, apa yang saya khuatirkan ialah sehingga bab « Petunjuk yang Terang », kesemua isinya nampak seakan-akan selari dengan Islam. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana di sekolah dan di Universiti saya mengambil bahasa Arab, maka kerana saya TAHU makna Rabboni (tetapi disebut Robbuni,ye ?),dan terus sahaja tertanam dalam jiwa saya bahwa, seluruh isi buku ini SALAH di sisi Islam.

Apa yang merungsingkan saya, bagaimana dengan mereka yang tidak pernah belajar B.Arab, bagaimana pula dengan majoriti umat Islam di luar sana yang maksud bacaan dalam solat pun tidak tahu ? Ditambah lagi bagi mereka yang mempunyai pemahaman aqidah yang cetek ? Bagaimana dengan mereka yang hanya Islam pada nama, sedangkan bab solat, puasa, mandi wajib dan perkara Fardhu Ain yang lain masih belum diselesaikan ? Sudah pasti, sedikit sebanyak akan terkesan dengan pembentangan hujah oleh pihak yang menulis buku ini. Mungkin jika ke tahap yang lebih teruk boleh membawa keraguan kepada aqidah Ismaiyyah yang dipegang sejak kecil !Dan sekaligus melepaskan aqidah Islam hanya kerana tertarik dengan hujah-hujah dalam buku ini? Wa Na’uzubillah !

Memang benar jika kita menuding jari kepada pihak-pihak yang tertentu, terutamanya pihak yang berwajib, ianya wajar kerana mengawal selia segala gerakan dan dakyah para kuffar ini terletak di bawah tanggungjawab mereka (at least la kan ?). Namun, jika kita meneliti keadaan dan situasi politik di dalam atau di luar negara, kuasa dan undang-undang pihak-pihak ini semakin dipertikaikan. Oleh itu, amatlah penting bagi kita untuk bersedia lebih awal supaya mampu menangkis seruan ke arah kesesatan ini. Bak kata pepatah melayu, ‘ Sediakan payung sebelum hujan’.

Saya melihat ancaman akidah ini kelihatan begitu merbahaya kerana di akhir zaman ini, akidah kita sebagai ummat Islam amat goyah dan lemah. Ancaman aqidah seperti sudah bermula sejak zaman berzaman lagi, tetapi skala dan kesannya kecil, tetapi oleh kerana kita amat lemah dari sudut kefahaman dan pegangan kita kepada aqidah Islamiyyah, tambahan pula undang-undang negara kita yang kononnya negara « Islam » ini, tidak pernah didasarkan kepada Al Quran dan Sunnah, maka semakin parahlah krisis akidah di kalangan kita dan semakin berleluasalah dakyah musuh-musuh Islam ini.

Penyelesaian ? Hmmm, semuanya bermula dari individu, kemudian keluarga. Mungkin ada yang bertanya, bagaimana dengan masyarakat ? Sebenarnya kita tidak perlu risau tentang masyarakat jika batu-bata (individu dan keluarga) yang membina sesebuah masyarakat itu elok ibadahnya, cantik akhlaknya dan kukuh aqidahnya. Nescaya masyarakat itu akan jadi sebaik-baik komuniti, penuh dengan keamanan dan kedamaian.

Membina peribadi manusia bukan semudah membina rumah. Bahkan untuk membina rumah sekalipun, kita perlukan ilmu, barulah rumah yang bakal dibina tidak roboh, cantik, kemas dan boleh dipromosikan kepada orang lain pula. Silap haribulan, boleh disewakan untuk program “Home Stay”,pula dek kerana kecantikan rumah tersebut!! Inikan pula hendak membina peribadi manusia! Mahu tidak mahu kita mestilah mencari ilmu bagaimana hendak “membina manusia” dengan betul, agar manusia yang dibina itu teguh aqidahnya, faqih ilmunya dan luhur pula akhlaknya.

Namun hari ini, SIKAP kita berkenaan isu membina manusia ini semakin lupus. Kita semakin SIBUK mengejar dunia dan segala kemewahan yang ada di dalamnya. Apabila generasi muda sudah mula “tunjuk belang”, hasil dari kecuaian kita menitikberatkan pembinaan peribadi manusia, barulah kita terhegeh-hegeh mencari pusat pemulihan akhlak, kaunselor-kaunselor terkenal, pondok-pondok pengajian agama, ustaz-ustazah untuk mem”betul”kan semula peribadi mereka. Bukan tidak boleh, tetapi alangkah, ALANGKAH baiknya jika kita sendiri sejak awal sudah membina peribadi diri kita dan keluarga mengikut cara yang betul. Janganlah menjadi seperti peribahasa Melayu, “ Sudah terhantuk,baru terngadah”. Ingatlah, mencegah lebih baik dari mengubati.

Baiklah, rasanya setakat ini dahululah saya menulis untuk kali ini. Sudah terlampau panjang pula rasanya-kena ada siri 2 kot.Hehe. Insya Allah, artikel ini akan disambung lagi dalam masa-masa yang mendatang. Semoga ALLAH melindungi kita semua. Amin.

Assalamualaikum.

FiRdauS a.k.a Pidut

[+] Baca seluruh artikel..

Isnin, Januari 21, 2008

Assalamualaikum


Hmmm, sudah lama tak menulis. Insya ALLAH, akan cuba menulis kembali. Sibuk sangat la 2-3 minggu ni.


~Pidut

[+] Baca seluruh artikel..

Jumaat, Januari 18, 2008

Aku memukul bola tenis akhirnya!

Tokgurukulan melaporkan :

Assalamualaikum..

Fuh.. Hari ni, kali pertama dalam hidupku, aku mencuba permainan tenis. Tu pun setelah AbgZahar asyik bukak channel Star Sports, memuji-muji dan kagum dengan ketangkasan Roger Federer yang tiada tandingannya. Lagi pun, dah lama jugak aku teringin untuk mencuba. Ahli-ahli rumah ni yang biasanya main tenis ialah AbgZahar dan Shah. Aku saje je cakap dengan mereka berdua tadi, kalau nak main tenis, ajak lah aku sekali.

Biasanya, permainan yang menjadi rutin kami di SevenHeroes ialah badminton. Kalau nak main tanpa rintangan angin, kami tempah dewan di TTDI. Tapi sekarang, jarang main di dewan. Yang selalu nye, main di laman bawah. Tu pun dah kira complete. Ada line atas tar tu. Net pun kami ada. Cuma kadang-kadang ada sedikit rintangan angin. Tapi itu sebenarnya akan menambahkan lagi cabaran!

Akhirnya, jadi kami main tenis hari ni. Pukul 3 petang tadi kami ke court tenis di TTDI setelah tempah untuk tempoh masa 2 jam. Kami bertiga. Aku, AbgZahar, dan Shah. Memandangkan aku masih baru, kami main pukul-pukul je. Tak kira mata pun. Lagi pun, kami bertiga. Tak cukup untuk main beregu, tapi lebih pulak kalau nak main single. Saje test power dulu. Erm, nampak orang main macam senang. Tapi bila cuba, mencabar jugak.

Pukul 5 petang, kami pulang. Argh! Letihnya.. Tak cukup nyawa!! Nak air!!

[+] Baca seluruh artikel..

Khamis, Januari 17, 2008

Menulis, menulis, dan menulis ..

Tokgurukulan menulis :

Assalamualaikum..

Nampaknya AbgZahar pun dah mula kembali rancak menulis blognya. Bagus bro! Teruskan usaha anda! Mullah sebagai penulis jemputan di blog AbgZahar pun nampaknya ada saja idea untuk menulis. Cuma, jangan lupa pulak untuk menyumbang juga di blog kita ni ye!

Pidut tu pun nampak macam ada idea nak menulis. Tapi dah lama menunggu, belum juga dipost ke dalam blog ni. Ada lagi agaknya idea yang belum sempat ditambah ke dalam tulisan yang sudah ditulis dalam Microsoft Word itu. Kita tunggu saja entry Pidut lepas ni mengenai satu buku kecil bertajuk 'Akhirat'. Erm, buku apa tu? Kita nantikan saja penjelasannya!

Jumpa lagi..

[+] Baca seluruh artikel..

Khamis, Januari 10, 2008

Template baru Seven Heroes!

Tokgurukulan menulis :

Assalamualaikum..

Ini adalah kali pertama aku menulis sejak aku menukar template blog ni semalam. Sebenarnya, memang banyak template boleh dicari dalam internet untuk diaplikasikan kepada blog kita. Cuma, aku kurang berminat dengan template-template tersebut memandangkan semua itu adalah template yang disebut sebagai 'Classic Template'. Ini adalah berdasarkan beberapa percubaan yang telah aku buat.

Menurut apa yang aku faham, bila kita mula menggunakan 'Classic Template', kita tidak lagi boleh mengedit blog kita dengan menggunakan 'Page Elements'. Satu lagi, semua elemen di sidebar akan hilang begitu sahaja! Jadi, terpaksa buat semula, atau jika benar-benar ingin menggunakan 'Classic Template', sebelum mengupload mana-mana 'Classic Template' yang kita suka, kita mesti save semua coding setiap sidebar yang ada, untuk digunakan dalam coding untuk template yang baru nanti.

Dan perlu diingat, bila sudah membuat keputusan demikian, untuk mengedit blog selepas menukar kepada 'Classic Template', semuanya perlu diubah codingnya, bukan lagi melalui 'Page Elements'nya.

Aku lebih suka untuk memahami konsep yang mudah, kemudian diaplikasikan dengan cara tersendiri berdasarkan kreativiti yang ada. Antaramuka yang bagus adalah yang ringkas, mudah difahami dan simple, serta tidak menyerabutkan pandangan mata yang melihatnya. Memasukkan unsur-unsur yang terlalu kompleks yang akhirnya menyusahkan pengguna, bukanlah satu cara terbaik dalam menghasilkan antaramuka yang menarik.

Berbekalkan sedikit pengetahuan mengenai perkara-perkara asas dalam HTML, dan minat meneliti setiap codingnya, dan sedikit kreativiti, aku cari maklumat bagaimana untuk mengubah template yang ada tanpa perlu mengubah kepada 'Classic Template' kerana aku masih ingin menggunakan 'Page Elements' untuk memudahkan proses mengedit. Cuma sekarang, hanya perlu memahami sedikit konsep yang digunakan dalam coding yang sedia ada.

Setelah menemukan beberapa informasi, baru aku tahu bahawa kita boleh menukar mana-mana elemen yang kita nak, dengan hanya memahami sedikit mengenai coding tersebut, kemudian mengubah mana-mana yang perlu. Dengan mengubah sedikit demi sedikit, mencuba itu dan ini, akhirnya aku dapat sebuah template yang agak menarik!

Mungkin bagi orang yang sudah mengetahui perkara ini dan mahir pula, tentu aku akan diketawakan je. Tapi, sekurang-kurangnya, aku telah dapat mempelajari banyak perkara baru dalam proses ingin memahami konsep ini. Daripada template asal, aku telah menukar gambar background utama kepada konsep wood, mengedit gambar background untuk teks dengan menambah lebarnya untuk menjadikan ruang teks lebih besar. Untuk memastikan kedudukan header tepat pun, banyak kali juga aku cuba. Banyak lagi pengetahuan yang aku dapat, tapi malangnya sukar untuk dikongsi semuanya di sini.

Apa pun, kesimpulannya, yang paling penting ialah minat untuk mencuba, diselit dengan sedikit sentuhan unsur kreativiti! Nak buat apa-apa sekali pun, bila kreatif, perkara yang ringkas pun akan jadi menarik, kan?

Jumpa lagi di tahun baru 1429 Hijriah!!

[+] Baca seluruh artikel..

Sabtu, Januari 05, 2008

Internet SLow.....Argghhhh!!!!

Apa yang sebenarnya berlaku??

Ini telah menjadi persoalan kepada kami serumah sejak talian internet memasuki rumah kami. Kami tertanya-tanya dengan reputasi streamyx yang dikatakan baik. Keadaan internet tidak baik seperti yang disangkakan dan dihebahkan oleh pihak Telekom Malaysia. Dengan bayaran RM88 setiap bulan, kami merasa tidak berbaloi terus melanggan internet sehingga salah seorang hero memberi cadangan untuk menamatkan langganan internet.

Kenapa berlakunya kekurangan dalam perkhidmatan servis dari pihak terbabit? Mereka memasang papan iklan di jalan-jalan, menghebahkan di media dan surat khabar, mengatakan betapa banyak kebaikan melanggan internet daripada mereka tapi masih banyak kekurangan dapat dilihat di sana sini walaupun sudah lama mengendalikan perkhidmatan tersebut. Apa yang dapat dilihat di sini, seperti mengisi batu kecil ke dalam tin kosong. Bila digoncang, bunyi sangat kuat tapi bila dilihat isinya, tak memberi apa-apa.

Begitu juga dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh beberapa agensi yang lain. Nama mereka cukup besar dan dikenali, malah ada mendapat kepercayaan daripada pihak kerajaan untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut. Tapi kenapa masih terdapat banyak kekurangan. Bila ditanya, mereka akan mengalihkan pandangan kita kepada topik yang lain. Bila sudak masuk berita, mereka mula bermesyuarat dan mengatakan akan mengambil tindakan segera.

Memang bukan perkara baik apabila kita melihat dari segi buruk. Tapi, adalah menjadi satu kemestian untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Zaman sekarang yang dikenali sebagai zaman maklumat, memudahkan orang untuk mengetahui apa yang berlaku di sekeliling mereka tak kira ianya baik atau perkara yang mengaibkan. Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan sesuatu perkhidmatan, hendaklah pihak tersebut mengambil tindakan dengan serius dan cepat supaya reputasi mereka tidak dipandang rendah oleh orang.

Diharap, pihak-pihak terbabit dapat meningkatkan mutu kerja mereka dan terus memberi perkhidmatan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

By Shah Torpedo

[+] Baca seluruh artikel..

Rabu, Januari 02, 2008

Diari.............

Sejak akhir-akhir ini....

..... Aku mula menulis diari. Sebelum ini, selalu jugak teringin nak menulis diari tapi tak menjadi. Sejak Iidil beli sebuah diari dan menulis, aku pun terikut-ikut dan mula menulis diari sendiri. Best jugak bila start menulis. Apa yg menarik setiap hari, aku tulis dalam diari supaya akan menjadi rujukan dan kenangan pada masa akan datang. Plan untuk hari-hari akan datang turut ditulis, takut-takut lupa. Harap-harap, semangat menulis diari dan juga blog ini takkan pudar.

-Shah Torpedo-

[+] Baca seluruh artikel..

Selasa, Januari 01, 2008

SLAMDUNK IS BACK!!!

Jaguh-jaguh bola keranjang sudah kembali....!!!

Pagi 01.01.2008, Taman Zaaba telah digemparkan dengan kehadiran jaguh-jaguh lagenda dalam sukan basketball. Kehadiran mereka telah memecahkan keheningan pagi dan mengejutkan penghuni-penghuni di situ dari mimpi indah pagi.

Siapa mereka!!! Kitorang la...!! Sape lagi?? Macam ye je.... Alhamdulillah, saya dapat bersama rakan-rakan serumah bermain basketball. Setelah lama mendiami rumah sewa ini, inilah pertama kali dapat bermain dengan mereka. Seronok le jugak.....!! Cuma sikap baran saya masih ada lagi semasa bermain tadi. Minta maaf banyak-banyak kepada rakan-rakan sekalian. Ana akan cuba berubah kepada yang lebih baik (cewah...!!! Guna 'ana', heheheh!!).

Petang ni, mereka plan nak main ping pong pulak di Jabatan CADCAM, UM. Harap takde aral melintang.... Amin! Semoga kegiatan riadhah yang dijalankan hari ini dapat merapatkan ikatan persaudaraan yang telah terbina. InsyaAllah...!!

By Shah Torpedo

[+] Baca seluruh artikel..

Isnin, Disember 31, 2007

Makcik oh makcik ..

Tokgurukulan bercerita :

Pada suatu hari, ada seorang makcik datang dari kampung untuk melihat anaknya yang berkahwin dengan orang kaya. Makcik ni bawak kawan dia dari kampung yang sama, bertujuan untuk menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan kekayaan itu. Makcik ni telah menempah hotel 5 bintang untuk menunjuk kepada kawan dia tu. Sampai di hotel,

Pelayan : Makcik, mari saya tunjukkan bilik makcik.

Makcik : Baiklah.

Pintu pun terbuka. Pelayan tersebut menjemput makcik tu masuk.

Makcik : Apa ni? Saya bayar mahal-mahal, takkan dapat bilik yang kecik macam ni? Lepas tu takde tandas, almari, tv! Katil pun takde!

Pelayan : Makcik, sabar.. Ini baru lif.

Makcik tu pun terkebil-kebil menahan malu pada kawan dia..

* Moralnya ialah, jangan amalkan sikap nak menunjuk-nunjuk. Tiada faedahnya.

[+] Baca seluruh artikel..

Teka-teki 13 ..

Tokgurukulan berteka-teki :

Bertemu kembali dalam ruangan teka-teki..

Apakah ia, bila dimasukkan, akan keluar, dan bila dikeluarkan pun, akan keluar?

Fikir-fikirkan..

[+] Baca seluruh artikel..

Template ini disediakan oleh Tokgurukulan