Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Rabu, Oktober 24, 2007

Puasa enam hari Syawal ..

Tokgurukulan bertazkirah :

Assalamualaikum..

Hatiku terdetik untuk menulis mengenai ibadah puasa enam hari Syawal lantaran ia berkait rapat dengan diri kita sendiri dan kena pulak masanya. Kita sekarang sedang melalui hari-hari itu. Lantas, berbekalkan beberapa sumber dan sedikit kefahaman, aku mengadap komputer dan mula menaip ke dalam blog kami ini. Moga ada lah yang dapat dikongsi bersama-sama pembaca-pembaca sekalian.


Ok. Dalil puasa sunat enam hari pada bulan Syawal ialah hadis Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari daripada bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih : Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, hadis no: 1164 (Kitab As-Siyam, bab Disunatkan Berpuasa Enam Hari Dari Bulan Syawal)].


Puasa sunat enam hari Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang daripada berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri berkata: “Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.” [Sahih : Dikeluarkan oleh Al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1991 (Kitab Al-Saum, bab Berpuasa Pada Hari Aidil Fitri)].

Ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Jadi, puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.

Wujud perbincangan, adakah dibolehkan berpuasa sunat enam hari Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini membuahkan dua pendapat.

Pendapat pertama, dibolehkan menangguhkan puasa qadha berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah s.a.w..” [Sahih : Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, hadis no: 1146 (Kitab As-Siyam, bab Mengqadha Puasa Ramadhan Pada Bulan Syawal). Dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 1950.]

Pendapat kedua, Rasulullah s.a.w. mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian baru lah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Walau bagaimana pun, pendapat kedua ini lah yang lebih rajih (lebih kuat) kerana Aisyah tidak menyatakan sama ada dia melakukan puasa sunat enam hari tersebut pada bulan Syawal atau pun tidak. Yang dinyatakan hanyalah dia menangguhkan puasa qadha. Juga, tidaklah menjadi satu kecacatan baginya jika dia tidak berpuasa sunat tersebut kerana melayani Rasulullah (suami) adalah lebih utama daripada mana-mana ibadah sunat pun. Satu lagi yang dapat difikirkan, jika Aisyah tidak mampu melaksanakan puasa wajibnya (qadha) lantaran melayan Rasulullah (suami), sama sahaja situasinya dengan puasa sunat kerana tuntutan berpuasa adalah sama, sama ada wajib atau sunat.

Moga kita sama-sama mendapat pengajaran daripada peringatan yang sedikit ini.

Wassalam..

[+] Baca seluruh artikel..

Selasa, Oktober 09, 2007

Ragam Ramadhan ..

Tokgurukulan merenung diri :

Bertemu kembali..


Gambar di atas begitu simple tetapi cukup untuk menjelaskan ragam dan gelagat orang kita sewaktu bulan Ramadhan. Sekadar untuk renungan bersama. Betapa ada orang yang tidak cukup makanan untuk berbuka puasa sedangkan kita begitu mewah sehingga terlalu banyak pilihan dan akhirnya membawa kepada pembaziran..

[+] Baca seluruh artikel..

Jumaat, Mei 25, 2007

Menguap...Nikmatnya!!


Menguap.....

Semua orang menguap termasuk juga saya... tetapi kadang kala kita terlupa ataupun juga kita tidak tahu ataupun kita tidak mahu ambil tahu apakah keburukan menguap. Adapun kalau mengikut ADAB yang diajar Nabi sholallahu'alaihiwassalam, semasa menguap hendaklah kita menutup mulut. Ini rasanya kebanyakan orang tahu, Alhamdullilah..

Tapi seperkara yang orang jarang berikan perhatian ialah bunyi yang keluar dihujung proses tersebut bunyinya pula pelbagai jenis...huargh.....huh...haaah dan pelbagai bunyi menandakan kepuasan melakukan perbuatan menguap ini. Mengikut penjelasan seorang ustaz yang saya temui, Syaitan sangat menyukai bunyi menguap bahkan bunyi itu merupakan satu hiburan bagi syaitan. Astaghfirullahal'adzim! begitu rupanya.

Jadi pesan ustaz tersebut..bukan tidak boleh menguap tetapi janganlah mengeluarkan bunyi-bunyian tetapi ucapkanlah istighfar selepas menguap supaya kita tidak menjadi kawan syaitan, menghiburkan syaitan. Sukakah kita bila syaitan seronok? Sudahlah seharian hidup kita ini penuh dengan dosa dan maksiat yang kadang2 tidak kita sedar, setidak2nya usaha kita yang sedikit ini dapat memperteguhkan dan memulihkan keimanan kepada ALLAH subhanahu wataala dan menjauhkan fitnah syaitan...insya Allah...

P.(-_-)

[+] Baca seluruh artikel..

Rabu, Mei 23, 2007

Canda Rasulullah ..

Tokgurukulan menukilkan :


Aku berfikir sejenak mengenai kejadian jiwa manusia. Ibarat sebuah motor yang tak mampu ditarik kencang secara terus-menerus, begitulah jiwa manusia. Ia sangat cenderung untuk cepat bosan terhadap aktiviti berat yang memerlukan tenaga dan fikiran. Kerana itulah, seseorang yang bekerja terus-menerus amat memerlukan rehat..


Tetapi, ramai pula orang yang menghabiskan waktunya hanya untuk bercanda sehingga tidak ada waktu yang dilalui melainkan bergelak ketawa. Padahal rehat dan canda bukanlah dimaksudkan untuk menghabiskan waktu. Ia hanyalah alat untuk menyegarkan dan mengembalikan semangat..


Di sinilah terdapatnya kelebihan dalam canda Rasulullah sama ada dengan ahli keluarganya, para sahabat, bahkan dengan kanak-kanak. Baginda bukan hanya sekadar bercanda tetapi sentiasa ada tarbiah di sebaliknya..


Antara kisah yang terlintas di fikiranku ialah ketika Baginda ingin meminta Anas bin Malik yang ketika itu masih kanak-kanak, untuk diutus bagi satu keperluan. Pada mulanya, Anas yang belum mumayyidz itu menolak permintaan Baginda. Apabila Anas mula meninggalkan Baginda untuk bermain-main dengan kanak-kanak sebayanya, Baginda telah memegang baju Anas dari belakang. Apabila Anas menoleh kepada Baginda, Baginda tertawa. Baginda meminta sekali lagi supaya Anas memenuhi permintaannya, dengan memanggilnya 'Unais', iaitu dalam bentuk tashghir, dengan membawa makna panggilan manja untuk Anas. Secara mudahnya, 'Unais' bolehlah difahami sebagai "Anas yang manja". Dengan didasari panggilan yang begitu menyenangkan bagi seorang kanak-kanak seperti Anas, lantas Anas terus bersetuju..


Kisah SHAHIH ini diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitabul Fadha'il, bab : Kaana Rasulullah ahsanan naas khuluqan, hadits no 54/2310, dan oleh Abu Daud dalam Kitabul Adab hadith no 773..


Lihatlah sendiri kemurnian peribadi Baginda. Bukan hanya dengan orang dewasa, malah dengan anak kecil seperti Anas ketika itu. Inilah yang membuatkan semua golongan manusia begitu menyenangi Baginda, hatta orang kafir sekali pun..


Bagaimana pula dengan diri kita? Fikir-fikirkan..

[+] Baca seluruh artikel..

Selasa, Mei 22, 2007

Isteri Solehah ..

Tokgurukulan mengingatkan diri :


Semua orang ingin berkahwin. Bagiku, manusia berkahwin untuk memenuhi tuntutan fitrah insani. Ia juga adalah sunnah baginda Rasulullah. Di sebalik itu pula, terkandung banyak perkara yang tersirat. Tanggungjawab, kerjasama, toleransi, pengorbanan, persefahaman, dan banyak lagi yang tidak mampu ditulis di sini..



Aku terpandang satu buku terjemahan Abdul Malik Al-Qosim, "Istri Shalihah Anugerah Terindah", muka 53-54. Judul asalnya daripada buku berbahasa Arab.


Aku petik satu kisah yang amat membuat diriku berfikir mengenai kehidupan yang membawa seribu erti dalam kehidupan manusiawi itu.


"Dikisahkan bahawa Umar bin Khattab ketika menjadi khalifah, melarang penjual susu mencampurnya dengan air. Suatu malam, beliau keluar di pinggiran Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar seorang ibu sedang berdialog dengan puterinya :-


Ibu : 'Tidakkah engkau mencampur susumu pagi ini?'


Jariyah : 'Bagaimana saya akan mencampurkannya padahal Amirul Mukminin melarangnya?'


Ibu : 'Orang-orang juga mencampurkannya. Maka campurkanlah. Amirul Mukminin tidak akan tahu.'


Jariyah : 'Kalaupun Umar tidak mengetahui, tetapi sesembahan Umar mengetahui. Saya tidak akan melakukan itu kerana beliau melarangnya.'


Sungguh dialog tersebut mengesankan di hati Umar. Maka pagi harinya beliau memanggil Ashim, puteranya dan berkata : 'Wahai anakku, pergilah ke desa anu dan anu, carilah informasi tentang gadis itu (Umar menyebutkan ciri-cirinya).'


Lalu pergilah Ashim untuk mencari. Ternyata dia adalah dari Bani Hilal. Umar berkata : 'Pergilah wahai anakku dan nikahilah gadis itu. Alangkah layaknya dia melahirkan seorang pahlawan yang memimpin bangsa Arab.' Kemudian Ashim bin Umar menikahinya.


Pernikahan tersebut melahirkan Ummu Ashim bin Ashim bin Umar bin Khathab. Ummu Ashim dinikahi oleh Abdul Aziz bin Marwan bin Hikam, lalu pernikahan tersebut melahirkan khalifah Umar bin Abdul Aziz."


Kisah ini dirujuk daripada Sirah Umar bin Abdul Aziz oleh Ibnu Abdil Hikam.


Begitu kuat kesannya memilih isteri yang solehah. Dari pemilihan yang teliti itu, maka lahirlah khalifah yang begitu hebat. Hebatnya kuasa Pencipta. Pemilihan kita sekarang menentukan generasi akan datang. Jika kita ingin generasi depan kita sekental Umar bin Abdul Aziz iman dan semangatnya, semuanya adalah bermula dari sini. Berusahalah ke arah itu. Moga hidup kita dan generasi kita akan dirahmati olehNYA..

[+] Baca seluruh artikel..

Rabu, Mei 09, 2007

Jangan bersahabat dengan pendengki ..


Tokgurukulan menulis :

Meneruskan hari-hari mendatang, aku terpandang satu kata-kata pada sekeping kalendar. Aku sungguh tertarik dengan kata-kata tersebut. Untuk perkongsian bersama, aku taip ke dalam blog ini agar jika ada manfaatnya, dapat sama-sama dihayati..

Kata-kata itu berbunyi begini :

"Semua orang boleh diajak bersahabat, kecuali seorang pendengki. Sebab, seorang pendengki akan selalu membawa kita agar mematikan nikmat-nikmat ALLAH, menanggalkan semua keperibadian kita, melepaskan ciri kehormatan kita, dan menanggalkan semua sejarah baik kita.."

[+] Baca seluruh artikel..

Selasa, Mei 08, 2007

Rasa redha menghilangkan kesedihan ..


Tokgurukulan menulis :

Basysyar bin Burd berkata :

"Musuhku mempermalukanku,
dengan menyebut aibku.
Bagiku bukanlah sesuatu yang memalukan,
jika aku dikatakan buta.
Bila seseorang masih mempunyai kewibawaan dan ketaqwaan,
sesungguhnya kebutaan tidaklah membahayakan.
Aku melihat kebutaan,
sebagai pahala, modal, dan penjagaan diri,
sedang aku sangat memerlukan ketiga-tiga hal itu.."

Renung-renungkan..

[+] Baca seluruh artikel..

Isnin, Mei 07, 2007

Merenunglah dan Bersyukurlah


Setiap manusia seharusnya selalu mengingati nikmat yang Allah kurniakan kepada anda. Kerana nikmat-Nya telah meliputi dari hujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki, kesihatan badan, keamanan negara, hutan belantara, udara dan air, serta masih banyak lagi lainnya adalah nikmat yang telah diberikan Allah kepada anda.

Firman Allah Taala di dalam ayat 34, Surah Ibrahim yang bermaksud'

".....sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya...."

Demikian besar nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepada anada. Dunia ini, beserta apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah unutk anda, tetapi anda tidak pernah menyedarinya; anda menguasai kehidupan, tetapi tidak pernah mengetahuinya.

"......Dia telah memberikan nikmat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik yang zahir mahupun yang batin.........(Lugman: 20)

Anda telah diberi sepasang mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.

"Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan? ( Ar-Rahman: 13)

Adakah anda mengira bahawa, berjalan dengan kedua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih banyak manusia lain yang tidak mempunyai kaki? Adakah anda mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu merupakan sesuatu yang mudah, padahal masih banyak manusia lain yang kehilangan kedua betisnya? Apakah anda merasai nikmatnya tidur dengan memejamkan kedua mata, sementara masih banyak manusia lain yang tidak dapat tidur kerana sakit yang mengganggunya? Pernahkah anda merasa nista ketika anda dapat menyantap makanan yang lazat dan minuman yang dingin, sementara masih banyak orang lain yang tidak dapat makan dan minum hanya kerana penyakit yang mereka deritai?

Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran, di mana Allah menjauhkan ada dari ketulian; penglihatan anda terhindar dari kebutaan; dan ingatlah kulit anda yang cantik yang terhindar dari penyakit gatal dan kudis. Perhatikan juga fungsi otak anda! Allah telah memberikan kesihatan aqal sehingga terhindar dari kegilaan yang menghinakan. Apakah anda ingin menggantikan mata anda dengan emas sebesar gunung Uhud? Inginkah anda menjual pendengaran anda seharga perak satu bukit? Apakah anda mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi denagn lidah anda, namun anda bisu? Apakh anda mahu menukar kedua tangan anda dengan butiran-butiran permata dan berlian, tetapi tangan anda kudung?

Anda sebenarnya telah meraup kenikmatan yang tiada terhitung dan kesempurnaan tubuh badan, tetapi sayangnya anda tidak menyedarinya. Bahkan, anda hidup dalam ketidakpastian dan terperangkap dalam kesedihan, padahal anda masih memilik roti yang segar untuk disantap, air yang segar untuk diteguk, dapat tidur dengan nyenyak, dan kesihatan anda yang stabil.

Anda acapkali memikirkan sesuatu yang telah hilang, sehingga anda lupa mensyukuri apa yang ada di hadapan anda. Anda merasa sedih kerana kekurangan material, padalah anda masih memiliki kunci kebahagiaan, memiliki setumpuk kebaikan, kenikmatan, dan masih baynyak yang lainnya. Oleh karana itu, renungkanlah dan bersyukurlah!

Firman Allah Taala dalam ayat 21, SUrah Adz-Zariyat yang bermaksud'

"Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kalian tidak memperhatikannya?"

Lihatlah diri anda, keluarga, tempat tinggal, pekerjaan, kesihatan, sahabat dan dunia sekeliling anda. Dan janganlah termasuk di dalam golongan:

"Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya....."( An-Nahl: 83)



Dipetik dari buku bertajuk 'Jangan Bersedih', karangan Dr. 'Aidh bin 'Abdullah Al-Qarni

[+] Baca seluruh artikel..

Khamis, Mei 03, 2007

Bersin dan adab dalam menghadapinya ..


Tokgurukulan menukilkan :

Assalamualaikum..

Terdetik di hatiku untuk menukilkan peringatan ini kerana bersin dan kita memang tidak dapat dipisahkan. Sebenarnya, aku lah antara yang selalu dilanda 'ujian' ini. Disebabkan bersin ni boleh dikatakan selalu menghiasi ruangan udara rumah kami, rasanya elok benar untuk diutarakan di dalam blog ini mengenai tatacara beradab ketika bersin dan ketika mendengar bersin. Akan diterangkan satu-persatu agar mudah difahami. InsyaALLAH, amatlah mudah untuk diamalkan. Cuma kadang-kadang kita terlepas pandang untuk perkara-perkara yang kecil seperti ini.

Dalam situasi berlakunya bersin, sekurang-kurangnya ada 2 orang yang terlibat; pembersin dan pendengar bersin. Pembersin hanya seorang. Pendengar pula mungkin hanya seorang, dan mungkin ramai. Bila terbersin, pembersin amatlah digalakkan untuk mengucap hamdalah, memuji ALLAH, iaitu 'ALHAMDULILLAAH'. Jika ada yang mendengar bersin dan hamdalah tersebut, dia disunatkan untuk menjawab hamdalah tersebut dengan mengucap 'YARHAMUKALLAAH' atau 'RAHIMAKALLAAH'. Jika pembersin tadi mendengar ucapan tersebut, sunat pula dia menjawab ucapan doa itu dengan berdoa kembali kepada pendengar bersin tersebut dengan mengucap 'YAHDIIKUMULLAAH'. Memadailah dengan itu, atau untuk tambahan, boleh juga disambungkan sedikit lagi iaitu dengan ucapan 'YAHDIIKUMULLAAH WA YUSHLIHU BAALAKUM'..


Maksud bagi ucapan dan doa-doa di atas ialah :-

ALHAMDULILLAAH - Segala puji bagi ALLAH ..

YARHAMUKALLAAH @ RAHIMAKALLAAH - Semoga ALLAH merahmatimu ..

YAHDIIKUMULLAAH WA YUSHLIHU BAALAKUM - Semoga ALLAH memberi petunjuk dan memperelokkan keadaanmu ..


Secara mudahnya, dapatlah disimpulkan seperti di bawah :-

Pembersin : الحَـمْــدُ ِللهِ

Pendengar bersin : يَرْحَـمُــكَ اللهُ atau رَحِـمَــكَ اللهُ

Pembersin : يَـهْـديـكـُـمُ اللهُ atau يَـهْـديـكـُـمُ اللهُ وَيُـصْـلـِـحُ بَالـَكـُـمْ


Setiap peraturan ALLAH, sudah pasti ada hikmahnya. Cuma 2 kemungkinan yang pastinya, iaitu, sama ada kita nampak hikmah tersebut atau sebaliknya. Apabila kita bersin, sebenarnya badan kita mengeluarkan apa yang tidak elok untuk badan. Kerana itulah kita amatlah disarankan untuk memuji ALLAH di atas nikmat tersebut. Setelah itu, berlakulah doa yang berbalas-balas. Masing-masing mendoakan saudara seagama. Mulia dan indahnya deen kita; ISLAM..

Setakat ini sahaja dulu, apa yang mampu dikongsi bersama. Moga sedikit nukilan ini dapat sama-sama dihayati dan diamalkan..


[+] Baca seluruh artikel..

Khamis, April 26, 2007

Biasakan yang betul...


Maksud Hadith:Sesiapa yang bersabar menunaikan dua belas rakaat dalam sehari semalam akan masuk syurga;empat rakaat sebelum Zuhur,dua rakaat selepasnya,dua rakaat selepas Maghrib,dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Fajar.

(HR al-Nasai (1771); Sahih:Sahih al-Nasai (1793)

Dipetik dari buku kecil: Himpunan Amalan Sedikit Pahala Banyak & Amalan Penghapus Dosa,Disediakan oleh: Ust. Fadlan Mohd. Othman, Pensyarah, Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

~izuddin~

[+] Baca seluruh artikel..

Template ini disediakan oleh Tokgurukulan