Rabu, Oktober 17, 2007

Aku dah balik ke KL..

Tokgurukulan bercerita :


Pagi tadi, aku selamat sampai di stesen putra pukul 5.30 pagi. Selepas solat Subuh di situ, naik komuter, kemudian bas, sampai la aku di rumah SevenHeroes ni pukul 8.00 pagi. Belum ada sesiapa yang balik ke sini. Lampu luar memang dibiar terpasang. Sudah diputuskan begitu kerana risau bila waktu malam kalau rumah bergelap waktu semua jiran balik kampung macam ni. Risau akan keselamatan rumah daripada penceroboh yang tidak diingini masuk tanpa izin. Cuma bila aku bukak pintu rumah, satu lampu dalam rumah terpasang. Hmm. Siapa agaknya yang balik kampung last sekali?


Meninjau situasi rumah yang ditinggalkan beberapa hari, aku terus melihat ikan-ikan kesayanganku yang ditinggalkan beraya di sini. Kesian, beraya kat KL. Nasib baik la tuannya ni dapat balik beraya di kampung. Alhamdulillah, sihat-sihat semuanya. Small golden fish yang tiga ekor tu, perut masing-masing masih kembung dan bulat macam biasa. Suka aku tengok. Tiada kes kebulur. Tengok di sisi akuarium buatanku itu, ada 'AQUAPET Weekend Food Block'. Erm. Nampaknya ada orang tolong belikan makanan ikan ni. Makanan ni yang jenis tahan lama dalam air. Sesuai bila nak ditinggalkan beberapa hari macam balik raya ni. Nama pun weekend. Hujung minggu. Hari cuti. Bila tuan ikan nak balik cuti, ikan dapat makanan yang cukup! Aku tak tahu pulak ada makanan macam ni. Ni pun aku tahu lepas baca info kat belakang pack tu tadi. Hehe. Aku dah risau kot-kot ada ikan-ikan tu yang mati kebulur. Hmm.. Siapa agaknya yang prihatin pada mereka (mereka? macam manusia pulak! Haha..) tu ye?

Atas meja pulak, ada biskut-biskut raya. Aku ingat, aku la orang pertama yang akan meletakkan biskut-biskut raya yang aku bawak ni kat atas meja tu. Aik? Dah ada orang lain ke yang sampai lebih awal daripada aku? Nampak gaya macam aku orang first. Tapi biskut-biskut raya ni mengkonfiuskan aku. Takpe la. Aku tunggu je la jawapan kepada persoalan-persoalan tu semua nanti.

Aku on PC. Bukak lagu. Tak la rasa sunyi sangat. Sebenarnya, memang terlalu awal aku balik KL ni. Tapi, perasaan tak tenteram kalau berada di kampung lama-lama. Persediaan untuk final exam, dan kerja-kerja production yang selalu memerlukan kepantasan dan komitmen, membuatkan aku membuat keputusan untuk segera balik ke sini. JIka diikutkan mood raya, memang lambat lagi la habis nye. Takpe. Aku kena beritahu kepada diri bahawa aku harus berkorban kali ni. Berkorban untuk masa depanku. Aku tidak mahu lagi mengulang kesilapan dulu. Biarlah aku bina keyakinan dan kejayaan atas kekecewaan dan kegagalanku di masa silam.

Aku bukak blog ni. Lama tak post dalam blog walaupun kat kampung ada internet dan pernah singgah di sini. Internet ada. Cuma kat kampung, banyak kerja yang perlu dilakukan. Persiapan sebelum raya; bersihkan kawasan rumah, susun semula letak atur kerusi meja, dan buat biskut raya bersama adik-adik. Masa raya; layan tetamu, main-main dengan baby (kerja ke? hihi..), persiapan untuk majlis bercukur baby yang dibuat pada 3 Syawal, dan kesibukan pada majlis itu sendiri. Internet digunakan untuk sesi YM bersama Abecik di New Zealand. Itu pun susah nak sama-sama online. Masa kita beraya, dia sibuk. Waktu malam, dia dah pukul 2-3 pagi. Waktu dia tidur! Sebab tu la sampai dia terpaksa korbankan waktu tidur dia untuk masa bersama keluarga. Hehe. Sekali tu, dia bangun pukul 1 pagi (kita baru pukul 8 malam) semata-mata untuk conference bersama kami! Dapat la dia tengok anak buah kami. Dapat tengok mok (nenek), mak-mak sedara dan pak-pak sedara. Oh indahnya hidup ini jika dipenuhi dengan kasih sayang!

Eh.. jauh pulak menyimpang. Erm. Petang tadi, Shah sampai. Mak ayah dia hantar. Fuh! Lega. Tak la aku keseorangan malam ni. Sampai-sampai je, setelah tanya itu ini, barulah aku tahu bahawa dia lah yang prihatin pada ikan-ikan aku tu. Nanti la aku bayar harga makanan ikan tu. Lagi pun, itu ikan-ikan aku. Aku berterima kasih pada Shah. Rupa-rupanya, biskut-biskut yang ada tu, dia yang bawak. Mak ayah dia bagi masa datang ambik dia balik kampung. Ooo, baru aku faham. Ingat kan sape la yang dah balik sini. Memang sah lah aku orang pertama yang sampai! Semua persoalan sudah terjawab. Cuma satu je belum berjawab. Agaknya siapa ye yang tak off lampu dalam rumah? Hmmm..

[+] Baca seluruh artikel..

Selasa, Oktober 16, 2007

Cepatnya masa!!

Tokgurukulan mencoret :

Assalamualaikum..

Bertemu kembali, setelah kita masing-masing menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal yang baru lepas.

Masa memang tidak pernah menunggu kita. Buktinya dah selalu kita rasa. Tahun ini kita melaluinya lagi. Ramadhan datang dan pergi dengan begitu cepat. 30 hari yang dilalui tidak terasa sepanjang bilangan hari-hari itu. Seakan hanya 30 detik. Mungkin 30 detik itu hanya 3 hari. Mungkin juga hanya 3 saat! Cepatnya masa, dan ia seringkali mencemburui kita.


1 Syawal yang disambut juga telah berlalu meninggalkan kita. Hari ini sudah mencecah 4 Syawal. Kita masing-masing menikmati hari kemenangan pada 1 Syawal yang lalu dengan cara dan pilihan tersendiri. Ada yang menghabiskan hari itu bersama keluarga tercinta. Ada yang mengambil peluang ini untuk balik kampung bertemu atuk dan nenek. Bahkan, ada juga yang tidak dapat meraikannya bersama famili. Mungkin dek kerana tugas yang amat memerlukan khidmatnya, atau juga tuntutan study yang begitu mendambakan komitmen di perantauan.

Selamat Berhari raya kepada semua!!

[+] Baca seluruh artikel..

Rabu, Oktober 10, 2007

Tadarus, kemudian Uptown!

Tokgurukulan melaporkan :

Assalamualaikum kembali..

Ramadhan makin ingin meninggalkan kita. Syawal pula kian melambai-lambai agar disambut segera. Terasa begitu cepat Ramadhan berlalu, lebih-lebih lagi di 10 akhir ini.

Malam ini, kami, SevenHeroes, seperti malam-malam sebelumnya juga, meneruskan aktiviti tadarus. Tarawih, masing-masing memilih untuk ke mana-mana masjid mengikut citarasa dan keselesaan tersendiri. Bila pulang dari Tarawih, kami sama-sama bertadarus di rumah. Tiada paksaan. Siapa yang berkelapangan, boleh menyertainya. Jika ada komitmen lain, boleh menguzurkan diri.

Memandangkan kita sudah menghampiri Syawal, dan ada yang akan balik kampung, kami memutuskan untuk menghabiskan tadarus kami malam ni. Lagi dua juzuk. Kami bertekad untuk menghabiskannya juga. Pidut dan aku akan balik kampung esok. Yang lain pun akan menyusul kemudian.


Setelah berjaya menghabiskan tadarus 30 juzuk kami lebih kurang pukul 11.30 malam, seperti yang dirancang siang tadi, kami akan meraikan dengan sedikit aktiviti MAKAN di Uptown. AbgZahar nak belanja! Terima kasih AbgZahar!

Kami pun mula bersiap dan bertolak ke sana. Semua kami ada. Cukup 7 orang. Lengkap kami sebagai SevenHeroes! Huhu.. Aku, AbgZahar, Izuddin, dan Iidil order chicken chop. Shah memilih untuk mencuba chicken grill. AbgAlias tak nak makan ayam. Dia order mee bandung. Pidut pun sama. Memilih mee bandung. Mungkin masih kenyang dengan juadah berbuka tadi.

Kembali sekejap ke petang tadi. Lupa tadi. Sebenarnya, hari ni kami berbuka kat rumah bersama-sama. Kami belum sempat berbuka sama-sama. Ada saja hal yang membuatkan kami tidak berpeluang berkumpul. Ada yang berbuka di masjid. Masjid pulak banyak pilihan. Ada tiga pilihan. Masjid Taqwa, Masjid Ghufran, dan Masjid Kg. Sg. Penchala. Kadang-kadang, ada juga yang berbuka sorang-sorang kat rumah. Kadang-kadang tu pulak, ada yang berbuka di luar bersama teman-teman sekerja dan sebagainya. Masing-masing ada agenda berbuka tersendiri. Hari ni lah kami berusaha untuk mengosongkan jadual berbuka di tempat lain. Kami ingin berkumpul, berbuka bersama. Alhamdulillah, kami berjaya! Cuma, Iidil balik lambat sikit. Kami berbuka dengan nasi beriani! Banyak. Ramai tak habis. Tapi aku akhirnya berjaya menghabiskan! Hahaha..

Kembali ke malamnya tadi, di Uptown. Waktu-waktu berkumpul sebegini lah, macam-macam lawak keluar daripada mulut masing-masing. Tiada niat untuk mengenakan sesiapa. Cuma ingin merapatkan ikatan persaudaraan antara kami. Biar sentiasa segar. Kadang-kadang, Pidut yang kena. Kadang-kadang tu pulak, Shah. Tapi Shah la yang menjadi target utama kami malam ni! Hehe.. Sori Shah. Inilah masanya untuk kita gurau-gurau begini. Aku dah nak kawin tak lama lagi.. (Uups.. terbocor rahsia..)

Pukul 12.30, kami bertolak balik. Tak lama. Sekadar meraikan diri kami sendiri. Moga ia menjadi sejarah manis yang terukir dalam diari hidup kami. Mengenali dan bersama kalian adalah kenangan terindah dalam hidupku.. Terima kasih sahabat-sahabat! (Tiba-tiba terlebih sentimental pulak.. Terharunya..)

Babai..

[+] Baca seluruh artikel..

Teka-teki 9 ..

Tokgurukulan berteka-teki lagi :

Assalamualaikum..

Ni ada teka-teki baru.

"Bila kita bergerak, ia pun bergerak. Tapi bila kita berhenti, ia tetap bergerak..

Apakah ia?"

Mari sama-sama kita fikirkan!!

[+] Baca seluruh artikel..

Selasa, Oktober 09, 2007

Ragam Ramadhan ..

Tokgurukulan merenung diri :

Bertemu kembali..


Gambar di atas begitu simple tetapi cukup untuk menjelaskan ragam dan gelagat orang kita sewaktu bulan Ramadhan. Sekadar untuk renungan bersama. Betapa ada orang yang tidak cukup makanan untuk berbuka puasa sedangkan kita begitu mewah sehingga terlalu banyak pilihan dan akhirnya membawa kepada pembaziran..

[+] Baca seluruh artikel..

Teka-teki 8 ..

Tokgurukulan kembali berteka-teki :

Assalamualaikum..

Nampaknya blog ni kena ada teka-teki, baru akan bertambah meriah kan? Takde idea ni, tapi aku letak je dulu teka-teki yang senang ni. Marilah sama-sama kita mencubanya!

Bila kita makan pisang, kita buang kulit.
Bila kita makan kulit, kita buang apa?

Fikir-fikirkan..

[+] Baca seluruh artikel..

Isnin, Oktober 08, 2007

Masjid oh masjid ..

Tokgurukulan meluahkan rasa :

Assalamualaikum..

Ramadhan kali ini, boleh dikatakan menjadi rutin harian, berbuka di Masjid Taqwa, solat Maghrib, Isyak, dan terus Tarawih di situ. Jarang sangat berbuka di rumah. Satu kelainan berbanding tahun lepas. Tahun lepas, aku kerap berbuka di Masjid Ghufran. Pilihan itu dibuat kerana di Masjid Ghufran, sewaktu berbuka, hanya dihidangkan bubur lambuk, kurma dan air terlebih dahulu, dan dihidangkan di ruangan masjid. Selepas solat Maghrib, baru jemaah akan dihidang dengan juadah nasi dan lauk-pauk yang dihidangkan di tingkat bawah di meja-meja yang khusus untuk majlis makan seperti ini.

Tak sangka pulak tahun ni langsung tidak menjejakkan kaki di masjid yang juga dikenali sebagai Balai Islam itu, sama ada untuk berbuka mahu pun solat Tarawih di situ. Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, atau lebih dikenali sebagai Masjid Kg. Sg. Penchala, lagi la jarang berbuka mahu pun Tarawih.


Jika nak ditulis di sini perbezaan antara Masjid Taqwa dan lagi dua masjid tu, boleh la diceritakan sedikit di sini. Sepanjang Tarawih di Masjid Ghufran tahun lepas, sebenarnya hati tidak sedap bila bacaan imam tidak tepat. Seolah-olah tajwid diabaikan. Hati sentiasa meronta bila ada bacaan silap. Tertanya-tanya juga dalam diri, bagaimana pemilihan imam dijalankan? Aku rasa bersalah sangat bila terkenang kembali Tarawih tahun lepas yang banyak sakit hati dengan bacaan imam.

Erm, di Masjid Kg. Sg. Penchala, jarang sangat aku Tarawih kat sana tahun lepas. Kalau ada pun, imam membaca surah-surah lazim, dan tiada banyak silap. Mungkin kerana surah-surah lazim ni memang selalu didengar oleh sesiapa saja. Cuma pada tahun ni, ada la sekali aku solat Tarawih di situ. Al-Quran besar diletakkan di depan imam. Ini merupakan satu peningkatan daripada hanya membaca surah-surah lazim. Itu tidak menjadi masalah kerana imam tidak menghafal ayat-ayat yang akan dibaca. Cuma masalahnya, tajwid juga lintang-pukang sebagaimana Masjid Ghufran. Aku rasa, itu imam baru. Aku sekali lagi terfikir. Bagaimanakah pemilihan dilakukan? Erm..

Tahun ni, aku membuat keputusan untuk Tarawih di Masjid Taqwa. Tahun lepas, aku jarang pergi ke sana memandangkan lokasinya jauh sedikit daripada lokasi dua buah masjid lagi. Tidak dinafikan, bacaan imam-imam Masjid Taqwa memang diakui tajwidnya. Bila bacaan tepat, hati pun tenang dalam solat sambil mendengar bacaan imam. Alang-alang Tarawih di situ, berbuka pun aku pilih untuk terus ke masjid tersebut.

Di Masjid Taqwa, berbuka puasa terus dihidangkan dengan juadah nasi sebaik sahaja azan dikumandangkan. Dihidangkan di meja-meja di satu ruang masjid yang dikhususkan untuk majlis-majlis sebegini. Imam Hafiz Anwar Al-Hafiz & Imam Abu Qatadah Al-Hafiz adalah imam tetap Masjid Taqwa merangkap imam Tarawih tahun ini. Hatiku menjadi tenang dengan bacaan yang tepat. Lagunya dah terletak nombor dua. Jika bacaan pun sedap didengar dan mendayu-dayu di samping bacaan yang terpelihara, itu memang lagi bagus. Hatiku terpaut kepada Masjid Taqwa!

Maafkan diriku sekiranya menyentuh mana-mana pihak. Aku hanya ingin meluahkan apa yang terbuku di hati.

Sekian diceritakan..

[+] Baca seluruh artikel..

Chatting dengan AbeTeh ..

Tokgurukulan mencoret lagi :

Assalamualaikum..

Petang tadi, adik aku kat kampung, AbeTeh (form 2), online dalam Yahoo! Messenger. Dapat la aku tengok adik-adik kat kampung melalui webcam yang sempat aku belikan dulu untuk ditinggalkan di kampung. Tujuan utamanya ialah supaya Abecik dapat lihat famili bila sama-sama online. Terubatlah hendaknya rindu di hatinya yang berada di perantauan itu.

Macam-macam gelagat adik-adik kecilku di depan kanta kamera itu. Aku mula rasa tak sabar untuk balik kampung. Aku tahu, bila aku balik nanti, banyak perkara yang perlu aku lakukan sebagai persiapan menyambut Syawal. Aku insyaALLAH akan balik kampung hari rabu ni. Kakcik pun balik lambat. Khamis baru bertolak. Erm, raya hari sabtu kan?


Rupanya Abecik dah uploadkan clip video lagu raya yang dia beritahu semalam tu ke dalam youtube. Boleh klik di sini untuk tengok videonya. Cara video ini digarap agak menarik. Kira kreatif la. Lagu pun sesuai la dengan orang-orang yang berada di perantauan. Cuma jangan ada yang menangis, sudah! Erm, kalau nak kenal Abecik, cari sendiri la ye. Hehe..

Setelah chatting dan bercakap juga melalui Yahoo! Messenger dengan adik-adik, Abah dan Ma balik dari kedai. Mungkin dari bazar Ramadhan, membeli juadah berbuka. Sempat Ma bertanya bila aku akan balik. Ye la, kerja dah banyak menunggu aku. Hoho.. Mengenai baby pulak, berita mengenainya tidak berubah, iaitu masih di hospital. Tak tahu la sampai bila akan ditahan di sana. Rupanya dah ada nama cadangan tapi belum daftar. Nurul Iffah binti Aspia Basri. Tapi mungkin akan letak 'Nik' kat depan sebab nama Kaklong 'Tengku'. Nik Nurul Iffah binti Aspia Basri. Ok tak? Erm. Ada apa-apa cadangan?

[+] Baca seluruh artikel..

Birthday Ajis!!

Tokgurukulan melakar rasa :

Salam Ramadhan..

Malam ini (actually pagi), aku berusaha menyiapkan editing Tafsir Surah An-Nisa'. Buat punya buat, lambat pulak rasanya nak habiskan editing kuliah sepanjang 90 minit ni. Sampai minit ke 27, aku stop. Sambung esok la.


Aku bukak lagu Hafiz Hamidun dan bersedia untuk menulis dalam blog ni. Entah macam mana aku jadi suka lagu-lagu dia. Mula-mula, sekadar cuba mendengar dan menilai. Bila dengar, konsepnya kena dengan minat aku (nasyid, sentimental, pop). Album solo dan sulungnya ini rupa-rupanya adalah hasil ciptaannya 100% dari segi lagunya. Liriknya mungkin ada juga sentuhan daripada komposer-komposer lain. Dalam banyak benda, aku mementingkan kualiti. Lagu yang kreatif ditambah pula dengan susunan suara yang baik, menjadikan sesuatu lagu itu sedap didengar dan akan selalu didengar. Eh, ni dah keluar daripada tajuk ni. Hihi..

Sebenarnya, ini yang nak diwarwarkan di sini. Hari ni, 8 Oktober, birthday Ajis, salah seorang bekas ahli rumah ni. Baru je kahwin dan ini merupakan kali pertama birthdaynya bersama isteri. Selamat hari lahir, Ajis! Semoga usia diberkati dan sentiasa bahagia bersama isteri dan keluarga tercinta.

Setelah lama tidak update blog ni, aku mengambil sedikit masa untuk menukar header. Sekadar menampakkan suasana Ramadhan sekarang, & Syawal yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Terasa sekejap sahaja Ramadhan singgah. Sekarang 'ia' sudah hampir mengucapkan selamat tinggal kepada kita.

[+] Baca seluruh artikel..

Sabtu, Oktober 06, 2007

Chatting dengan Abecik ..

Tokgurukulan mencoret lagi :

Assalamualaikum..

Pagi ni, adikku di New Zealand, Abecik, online di Yahoo! Messenger. Dah beberapa minggu tidak berYM dengan dia. Dia sibuk la kot dengan kuliah & test atau exam. Sekarang, beza 5 jam katanya dengan Malaysia sebab daylight saving. Biasanya beza 4 jam je. Entah la. Aku pun tak tahu apakah maksud istilah itu. Hihihi..

Mula-mula, cakap mengenai anak buah kami tu. Biasa la. Kami ni berkongsi rasa dalam hal ni. Masing-masing excited dengan kehadiran insan kecil itu. Dia akan dipanggil Ayohcik.


Cuma yang agak terharunya, dia buat pertama kalinya tak dapat berhari raya bersama kami di kampung pada tahun ni. Mesti akan terasa kejanggalan tiadanya dia di sisi famili tercinta. Ye la, walau macam mana sekalipun kemesraan antara ahli keluarga, keterikatan hati hubungan darah daging memang sudah dikejap erat oleh Yang Maha Pencipta. Lagi bertambah sayu bila memikirkan insan baru yang nanti hanya akan dapat ditatap fotonya dalam internet sedangkan adik-beradik lain semua gembira menatang & bermain-main dengan bayi itu.

Chatting punya chatting, dia kata dia & kawan-kawan kat sana ada cipta satu lagu raya. Dah rakam pun, dan akan dibuat video. Aku mintak audionya dulu yang sudah dirakam. Tajuk lagu itu ialah ' Ku Di Kejauhan'. Sayunya dengar lagu tu. Baca tajuk pun dah faham apa isinya kan? Agak menarik lagu dan senikatanya.

Cuma bunyi rakamannya agak tak clear. Mungkin dirakam dengan MP3 player. Aku sebagai Sound Engineer (..yang tidak bertauliah.. hihi..) bagi cadangan supaya dia rakam pakai mana-mana software untuk audio dan dirakam terus ke dalam komputer. Contohnya, Sound Forge. Itu akan menghasilkan kualiti yang lebih bagus. Aku ni memang agak menekankan kualiti. Hehe. Dia mintak aku cuba edit yang tu dulu sebab mungkin dah tak sempat nak rakam semula. Erm.. ok la. Aku akan cuba. Mana tahu, boleh diperbaiki. Aku kan Creative Manager (kreatif ke.. ye kot.. kui, kui, kui..) dalam Bizarre Production.

Erm. Rasanya setakat ini lah dulu untuk pagi ni. Hari ni aku ada hal untuk diselesaikan. Harapnya semua berjalan dengan lancar..

[+] Baca seluruh artikel..

Masa untuk 'Bizarre' sudah kembali ..

Tokgurukulan bercerita :

Selesai presentation pagi tadi, terasa hilang satu beban keresahan di bahu. Sekarang cuma menunggu masa untuk final exam je. InsyaALLAH ada masa yang cukup untuk study nanti.

Sekarang, boleh la dilebihkan sedikit fokus kepada Bizarre Production. Malam ni mata tidak rasa mengantuk pulak sedangkan awal-awal tadi dah rasa nak tidur awal. Boleh la aku gunakan masa ni untuk editing Qolbun Salim Set 4 yang masih belum siap. Alhamdulillah, baru je siap. Kalau belum siap, takkan la aku sempat nak menulis ni.. Hehe..

Ok la. Sekarang dah boleh tidur. Bersedia untuk bangun sahur pukul 5 pagi nanti!

Selamat bersahur!

Selamat berpuasa!

[+] Baca seluruh artikel..

Jumaat, Oktober 05, 2007

Panasnya hari ni!

Tokgurukulan menaip :

Assalamualaikum..

Sementara menunggu untuk bersiap nak pergi berbuka puasa di Masjid Taqwa, aku mengambil ruang waktu ini untuk menulis lagi di sini. Dah nak mandi ni sebenarnya, tapi sempat lagi mengadap komputer. Hehe..

Hari ni cukup panas udaranya. Rasa sedikit tergugat ibadah puasa ini. Ramadhan kali ini tidak panas selalu tapi bila tiba hari panasnya macam hari ni, memang cukup meletihkan badan.


Masuk la sikit mengenai presentation tadi. Erm, secara keseluruhannya boleh dikatakan ok sebab Dr. Omar tak komen mengenai content. Itu yang kami risau sebenarnya. Risau kalau-kalau ia tidak menepati apa yang sepatutnya dikehendaki. Tapi nampaknya tiada masalah di situ. Cuma Dr. Omar beri komen secara umum kepada semua. Kebanyakannya mengenai cara penyampaian kami.

Di samping itu, Dr. Omar seperti biasa, ada saja cerita-cerita yang dikongsi bersama kami. Dia memang seorang pensyarah yang baik dan suka memotivasikan pelajar-pelajarnya.

Ok la. Nak pergi mandi dulu. Moga dapat disempurnakan ibadah puasa yang masih berbaki ini dengan seoptimum mungkin. Bayangkan, kita takkan sempat lagi bertemu Ramadhan akan datang. Rugi la kan kalau kita mensia-siakan Ramadhan kali ini?

Renung-renungkan..
Salam 10 akhir Ramadhan..

[+] Baca seluruh artikel..

Sekadar bercerita ..

Tokgurukulan menukilkan :

Assalamualaikum..

Hari ini merupakan kemuncak kepada assignment yang telah kami bertungkus lumus buat dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Aku, Razman, Hairul, dan Saniy. Akhirnya akan tiba masa dan ketikanya untuk kami present esok, pukul 11 pagi.

Sesampainya di Akademi Pengajian Islam ini tadi, aku call rumah. Ita yang angkat. Saje ingin bertanya khabar mengenai bayi comel yang bakal aku tatang dan manjakan nanti. Rupa-rupanya, Kaklong dah balik rumah petang tadi. Bayinya ditinggalkan di hospital. Dimasukkan ke dalam bilik khas kerana lemas semasa dilahirkan. Ye la, dilahirkan songsang, memang risikonya tinggi. Kesian insan kecil itu. Aku akan menyayanginya. Bertuahlah dia kerana dilahirkan sebagai anak buahku kerana aku adalah seorang yang sangat penyayang.. Hehe..


Tak lupa, sempat juga aku bercakap dengan adik bongsuku yang manja. Dia belum tidur. Baru berumur 5 tahun dah dapat anak buah. Tak macam aku. Dah tua (tua ke? haha..) baru merasa menjadi bapa saudara..

Kembali kepada assignment tadi. Sudah beberapa malam aku datang ke sini untuk menyiapkan kerja-kerja ini, namun tidak juga dapat disiapkan. Ada saja yang tidak selesai. Maka, malam ini, untuk kesekian kalinya, ruang legar akademi ini menjadi tempat kunjunganku. Mungkin malam ini adalah kesudahannya kerana selesai presentation esok, segala-galanya akan habis. Cuma tunggu bersedia untuk final exam bulan 11 nanti.

Razman dan Hairul sedang menyiapkan slide show. Saniy pulak, tertidur kepenatan. Aku membiarkan mereka berdua menyiapkan mana yang patut, lalu mengambil sedikit ruang waktu ini untuk menulis di sini.

Aku harap, malam ini aku dapat pulang ke rumah lebih awal berbanding sebelum ini kerana sudah banyak yang siap. Cuma lepas ni, masing-masing kena study betul-betul la part masing-masing. Semalam, pukul 4 pagi baru aku sampai rumah. Memang betul-betul memenatkan.

[+] Baca seluruh artikel..

Khamis, Oktober 04, 2007

Happy Birthday AbgZahar!!

Tokgurukulan mencoret :

Assalamualaikum..

Semalam, tanggal 3 Oktober 2007 = 21 Ramadhan 1428, lahirnya seorang insan yang bergelar anak saudara ke dalam hidupku..

Tiba-tiba, teringat pula mengenai diri sendiri. Ma pernah bercerita, Ma dulu pun, semasa melahirkan aku, juga dalam bulan Ramadhan. Ramadhan 1402 Hijriah. Ma hanya sempat berpuasa 16 hari. Hari ke-17 Ramadhan, aku dilahirkan ke dunia. Moga pengorbanan Ma akan mendapat ganjaran yang setimpal. Aku tidak akan melupakan segala jasamu sehingga aku mendewasa dengan baik sehingga hari ini.


Duk cerita pasal hari lahir ni, rupa-rupanya hari ni, 4 Oktober adalah hari lahir AbgZahar. SELAMAT HARI LAHIR, BRO!! AbgZahar nak apa-apa tak? Cukup tak kalau kami hadiahkan segugus ingatan dan doa buat AbgZahar, agar AbgZahar kawin cepat? Hehe.. Jangan marah aa.. Gurau je..

[+] Baca seluruh artikel..

Rabu, Oktober 03, 2007

Bermulanya aku sebagai "ayohngoh"..

Tokgurukulan kembali menulis :

Assalamualaikum..

Setelah sekian lama menyepi daripada mencoret sesuatu di ruangan blog ini, aku gagahkan juga untuk menaip di samping tugasan-tugasan yang makin memberat di bahu. Maaf dipohon daripada pengunjung-pengunjung blog ini yang masih juga setia singgah walau seketika.

Alhamdulillah, sedar tak sedar, kita dah pun masuk 10 akhir Ramadhan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Rasa baru sahaja berpuasa tahun lepas. Tup-tup, ni dah masuk 10 akhir Ramadhan tahun berikutnya. Usia makin meningkat. Amal yang masih di takuk lama, harapnya dapat digandakan dari hari ke hari.


Dalam kesibukan tugasan-tugasan di samping ibadah puasa, berkejar-kejar untuk berbuka puasa dan tarawih di Masjid Taqwa, dan balik ke rumah pula, bertadarus bersama pahlawan-pahlawan merangkap ustaz-ustaz SevenHeroes, aku juga sebenarnya menunggu hari yang cukup bermakna dalam hidupku. Aku belum punya anak buah. Kaklong sekarang menunggu hari sahaja untuk melahirkan anak sulungnya.

Kaklong sejak hujung minggu ni memang sudah bersedia balik kampung. Menunggu saat-saat kelahiran bayi pertamanya. Kiranya, dia terus bercuti daripada mengajar di Perak tu sehingga habis cuti bersalin.

Pagi tadi, lepas sahur, aku mendapat mesej daripada nombor telefon Kaklong. Tak pasti pula siapa yang menghantarnya tapi yang pastinya, bukan Kaklong, sebab, mesejnya berbunyi begini "Abengoh, Kaklong gi spital doh lepas sahur td. Sakit perut. Tak akan bedah. Beranak biasa." Mungkin AbeTeh yang pegang henset Kaklong.

Setelah berehat seketika, lebih kurang pukul 10.30 pagi, aku call Ma. Nak tahu apa perkembangan Kaklong di hospital. Ma kedengarannya gembira di hujung corong hensetnya itu. Ye, Ma sudah pun bergelar "Tok Ma", manakala Abah pula akan dipanggil "Tok Abah". Ma cakap, Kaklong sudah selamat melahirkan anak perempuan pada pukul 9.15 pagi tapi Ma belum masuk tengok. Walaupun kedudukan bayi songsang, tapi alhamdulillah, Kaklong dapat bersalin secara normal tanpa perlu dibedah. Memang jarang berlaku begini. Biasanya, jika songsang, memang akan dibedah. Mok (nenekku) pun ada sekali. Menunggu bersama Ma. Yang menemani Kaklong di dalam hanyalah Abelong; suaminya.

Akhirnya saat itu tiba jua. Bagi orang yang baru pertama kali mendapat anak buah seperti aku, tidak dapat digambarkan perasaan gembira yang amat sangat. Raya kali ini akan lebih meriah dengan kehadiran insan comel itu. Tak sabar rasanya ingin menatap wajah kecilnya. Mesti ada juga iras-iras Ayohngohnya ini. Hehe..

Kakcik, akan dipanggil Cik La, Abecik akan dipanggil Ayohcik, Ita akan dipanggil Cik Ta, AbeTeh akan dipanggil AyohTeh, TekDa akan dipanggil Cik Da, E akan dipanggil Ayoh E, dan adik bongsuku, Aziha, akan dipanggil Cik Ha @ Cik Su Ha..

Cik Ha @ Cik Su Ha yang berumur 5 tahun akan beraya dengan anak buahnya kali ni. Mungkin mereka akan menjadi teman sepermainan nanti. Seronoknya hidup ini.

Itu baru anak buah, tapi aku dah rasa seronok sangat. Akan tiba saatnya, aku akan menyambut anakku sendiri. Azan ke telinga kanannya, iqamah ke telinga kirinya, sebagaimana sunnah Baginda. Bila ya? Tunggu. Akan tiba waktunya nanti..

Salam Ramadhan..

[+] Baca seluruh artikel..

Template ini disediakan oleh Tokgurukulan