Selasa, November 06, 2007

Open house lagi.. Rumah Mullah..

Tokgurukulan melaporkan :

Assalamualaikum..

Selagi Syawal belum habis, selagi itu lah open house sentiasa ada. Mungkin ini lah yang dimaksudkan oleh orang melayu sebagai 'puasa sebulan, raya pun sebulan'.

Ahad, 4 November 2007, aku, AbgZahar, Pidut, Iidil, Izuddin, dan AbgAmir (kawan AbgZahar), pergi ke rumah Mullah di Subang Jaya. Entah macam mana, hari tu, AbgAmir yang jadi mangsa. Tiba-tiba, dia digelar PokNik. Kesian dia. Mullah confuse bila kami cakap, orang yang bernama PokNik akan ikut sekali. Dia ingat, dia tak kenal. Kami sampai je, Mullah tergelak besar sebab dia memang dah kenal AbgAmir. Ai, macam-macam gelagat!

Setelah bersalam-salaman dengan Mullah dan familinya, makan-makan, AbgAizuddin sampai. Dia datang dengan isterinya, KakWan, dan anak comelnya, Hasif. Baik je budak tu. Sape je ambik dia, dia tak nangis. Semua orang nak dukung dia. Bertukar-tukar tangan.

Pukul 4.30 petang, kami bertolak pulang.

[+] Baca seluruh artikel..

Jumaat, November 02, 2007

Open house rumah Ayohcik..

Tokgurukulan bercerita :

Assalamualaikum semua!

Hari ahad, 28 Oktober 2007, malam tu, aku ke rumah pak sedara di Damansara Damai. Adik kepada abah. Nama dia Tengku Anuar. Nama panggilannya di kalangan anak-anak buahnya ialah Ayohcik. Tergerak di hati ingin mencoret sedikit mengenai perkara ni pada hari tu tapi tak sempat. Akhirnya, hari ini baru dapat aku catat mana yang aku masih ingat. Sebenarnya tiada apa sangat yang penting. Sekadar ingin berkongsi cerita kehidupan. Juga sebagai catatan diari hatiku sendiri.

Beberapa hari sebelum tu, memang aku dah terima satu mesej daripada Ayohcik supaya datang ke rumahnya hari ahad. Dia buat open house. Siangnya, banyak kerja yang perlu disiapkan. Lalu, petang tu, aku beritahu Ayohcik, insyaALLAH, kalau tiada aral, aku akan ke rumahnya malam nanti.

Malam tu, aku baru teringat mengenai seorang kawan lama. Zamzami namanya. Kawan sekolah rendah. Dah beberapa tahun tidak bersua. Biasanya, at least, pada hari raya, aku akan ke rumahnya. Kalau tak pun, dia akan bertandang ke rumahku ditemani kawan-kawan yang lain seperti Syed, Hady Roslan, Ali, dan beberapa orang lagi.

Aku chatting dengan dia baru-baru ini. Katanya, dia baru pindah ke Damansara Damai. Sebab tu aku tiba-tiba teringat kat dia ni. Rasa ingin bertemu dengannya. Alang-alang pergi Damansara Damai, elok juga kalau dapat bersua walau seketika.

Sebelum bertolak, aku call Zamzami dulu. Dia ada kat rumah. Dalam hujan renyai-renyai malam tu, aku pergi jugak dengan Izuddin. Sampai rumah Ayohcik, aku call dia lagi. Aku ajak dia datang rumah Ayohcik. Dia kenal Abah. Abah adalah guru kami di bangku sekolah suatu ketika dahulu. Ini rumah adik Abah. Tentu dia seronok bertemu Ayohcik.

Dia agak lambat sedikit nak mencari rumah Ayohcik. Katanya, dia belum biasa dengan kawasan Damansara Damai kerana masih baru di situ. Akhirnya dia sampai jugak. Erm, lama jugak tidak bertemu dengan dia. Tapi still cool macam dulu. Hehe. Ada la bukak cerita mengenai kawan-kawan lain. Masing-masing dengan haluan hidup tersendiri. Biasa la tu kan.

Kat rumah Ayohcik, kami makan nasi himpit (kelate panggil 'nasi kapit') dan laksa penang. Makcik Lah (isteri Ayohcik) kata, dia masak sendiri. Erm, pandai dia masak! Belum sempat hujan berhenti, kami mintak diri untuk pulang kerana sudah agak lama. Sebelum tu, sempat lagi aku bagi duit raya kepada dua orang sepupuku; Tengku Nur Syahirunnisa (darjah 5) dan Tengku Akmal Hakim (darjah 3). Mereka ni, asal aku datang je, mula la tak bagi aku balik. Aku memang selalu datang bila ada kelapangan. Cuma sekarang aku agak sibuk menyebabkan jarang dapat bertandang seperti selalu. Erm, aku belum dapat pergi ziarah rumah Zamzami malam ni kerana dah agak lewat. Mungkin lain kali ada kesempatan itu. Dapat bertemu ni pun sudah dikira sebagai satu nikmat yang amat bernilai.

Sekian diceritakan..

[+] Baca seluruh artikel..

Khamis, November 01, 2007

Iffah kesayangan Ayohngoh!

Tokgurukulan meluahkan rasa :

Assalamualaikum..

Rindunya pada anak buahku, Iffah. Sekejap je balik beraya, dah kena kembali ke KL. Sempat la riba dan cium baby tu. Comel sangat. "Tunggu Ayohngoh balik raya haji nati deh!" Takpe la Iffah tak faham pun. Saje nak bercakap-cakap dengan dia. Hehe..


Ai, agaknya dah besar si comel Iffah ni. Gambar-gambar ni diambil masa raya ketiga, iaitu ketika umurnya 13 hari. Hari ni, umurnya dah masuk 30 hari. Dah sebulan rupanya. Masa raya hari tu, tidur je. Bila sedar, nangis lapar. Kalau tak lapar pun, ada la "benda" yang perlu diperiksa dan ditukar tu. Hihi. Biasa la tu kan. Nama pun baby. Banyak minum susu tu. Mesti cepat besar. Tak sabar nak dukung dia lagi!

[+] Baca seluruh artikel..

Jumaat, Oktober 26, 2007

Kes culik lagi ..??

Tokgurukulan berkongsi pendapat :

Assalamualaikum dan selamat pagi..

Semalam aku terlihat satu foto kanak-kanak di muka depan News Strait Time. Di atas gambar tersebut tertera tajuknya : ANOTHER NURIN. Kes itu berlaku di Georgetown. Aku termenung seketika. Berfikir mengenai manusia yang pelbagai ragam. Dunia sudah semakin ramai dengan manusia yang mementingkan diri sendiri dan sanggup buat apa sahaja untuk memuaskan diri sendiri. Kerukunan hidup sudah diketepikan. Hidup yang sepatutnya dinikmati bersama-sama dengan harmoni dan saling membantu sudah menjadi tempat yang saban hari dilitupi dan diliputi ketakutan dan kerisauan. Dari sudut lain pula, ibu bapa kadang-kadang cuai daripada mengawasi keselamatan anak-anak sedangkan sudah acapkali dipaparkan oleh media mengenai perkara yang sama berlaku ke atas kanak-kanak.



Alhamdulillah, hari ni aku lega bila dapat melihat gambar kanak-kanak berumur 10 tahun yang bernama Rekha itu sudah pun berada di pangkuan keluarganya. Berdasarkan cerita daripada kanak-kanak tersebut, dia memang diculik. Dia dikurung di dalam satu bilik dan dipukul oleh seorang wanita. Rekha dibebaskan lantaran penculik tersebut takut bila kehilangan kanak-kanak itu mendapat liputan meluas media dan pihak polis melancarkan gerakan mencari besar-besaran. Erm. Penculikan berlaku lagi. Tidak mustahil jika tindakan media dan pihak polis lambat, akan berlaku perkara yang kita tak diingini ke atas Rekha, sebagaimana yang berlaku ke atas arwah Nurin, atau lebih teruk daripada itu.

Apakah yang boleh dilakukan untuk menghentikan perkara ini? Mengapa orang-orang yang kejam seperti itu masih tidak mahu memikirkan keharmonian hidup sejagat, dan mengapa pula para ibu bapa seperti tidak pernah dihidangkan dengan berita-berita kehilangan kanak-kanak?

Apa pendapat anda?

[+] Baca seluruh artikel..

Akhirnya kami berkumpul pada Syawal ini!

Tokgurukulan berkongsi cerita:

Assalamualaikum pembaca blog sekalian!

Menulis punya menulis, rupanya ada perkara penting yang aku lupa nak tulis di sini. Tak kisah la walaupun dah lama lepas. Aku tetap nak luahkan juga dalam blog ni. Ceritanya masih lagi berkisar mengenai raya yang baru sahaja kita sambut. Saje ingin meluahkan perasaan gembira pada Syawal kali ini. Jika ditaip, ingatan yang indah-indah akan seronok dikenang kembali bila tiba-tiba suatu masa nanti terbaca apa yang ditaip sekarang. Kalau dulu-dulu, boleh la kita sebut sebagai diari. Tapi sekarang, selain daripada diari, ada alternatif baru sesuai dengan peredaran zaman teknologi maklumat, iaitu blog. Apa yang terbuku di hati, ditulis ke dalam blog. Sama je konsepnya dengan diari. Cuma ini dalam bentuk digital.


Eh, menyimpang jauh pulak. Ok, masuk kepada isi utama entry ni. Sebenarnya, raya kali ini, selain daripada aku gembira menyambut anak buah pertama, ada satu lagi perkara yang boleh dicatat dalam diari hidupku (atau, boleh ke digantikan dengan istilah 'blog hidupku'..? Hehe). Setelah beberapa tahun tidak bertemu dengan sahabat-sahabat rapatku semasa di Maahad Muhammadi suatu ketika dahulu, raya kali ini kami berlima dapat berkumpul! Aku, Azmi, Kama, Solihin, dan Azman. Betapa rapatnya kami, kami sempat bergambar di photo studio. Setiap orang daripada kami ada simpan satu salinan.


Sebenarnya, bukan sengaja tidak mahu berjumpa. Cuma bila masing-masing sudah ada komitmen tersendiri, sudah tidak ada waktu yang dapat diluangkan bersama-sama. Kalau waktu itu tak pernah terfikir pun bahawa suatu masa nanti kami akan dipisahkan oleh waktu dan kerjaya, sekarang baru rasa keadaan itu dan terasa begitu berharga saat-saat ketika dapat selalu berkumpul dahulu, di mana sekarang nikmat itu sudah tiada.

Berikutan aku mendapat tahu Solihin (yang sudah mendahului kami dalam berkeluarga) sudah mendapat baby pertamanya, aku ajak Azman pergi ziarah. Tengok baby. Rupanya baby Solihin selamat dilahirkan pada 30 September 2007. Anak buahku, Nik Nurul Iffah, dilahirkan pada 3 Oktober 2007. Beza 3 hari je. Diringkaskan cerita, raya kedua, malam tu, Azmi datang rumah aku. Dia datang ditemani kawannya. Lepas tu Azman pulak datang. Kami pun bergerak ke rumah Solihin. Azmi pergi dengan kawannya. Aku tumpang kereta Azman. Sesampainya kami di rumah Solihin, kami berpeluk-pelukan. Ye la. Lama sangat tak jumpa. Kama belum tiba. Lambat sikit. Katanya, dari rumah abang iparnya. Tidak lama kemudian, Kama sampai. Akhirnya, berkumpul lah kami setelah beberapa tahun terpisah oleh masa!

Setelah bertukar-tukar cerita masing-masing, kami pun mintak diri untuk pulang. Tak sedap pulak berlama-lama di rumah orang malam-malam macam tu. Sebelum pulang, aku sempat tengok dan usap kepala baby. Ambik berkat. Hehe. Solihin cakap, nama dia Nurul Iman. Erm, sedap nama tu. Sejuk kedengaran di telinga. Macam tajuk lagu AMAR pulak! Solihin ni minat AMAR ke..? Hihi..

Setelah menghantar Kama balik ke rumahnya, dan singgah masuk sekejap, kami pun balik. Azmi dan kawannya balik ke quarters di Hospital Besar Kota Bharu, tempat kerja mereka. Aku dihantar balik oleh Azman. Rumah kami tak jauh. Sama-sama Pasir Tumboh.

Begitulah seadanya kisah 5 orang sahabat..

[+] Baca seluruh artikel..

Khamis, Oktober 25, 2007

Kisah guru dan murid ..

Tokgurukulan berkongsi ceria :

Bertemu kembali..

Erm, rasanya dah biasa sangat cerita-cerita lawak dalam kelas macam ni. Saje nak kongsi di sini.

"Murid : Selamat pagi, cikgu.

Cikgu : (Menengking) Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak doakan saya tak selamat?

Murid : Selamat pagi, petang, dan malam, cikgu!

Cikgu : Panjang sangat! Tak pernah dibuat oleh orang! Kata selamat sejahtera! Senang dan penuh makna. Lagipun ucapan ini meliputi semua masa dan keadaan.

Murid : Selamat sejahtera cikgu!


Cikgu : Sama-sama. Duduk. Dengar sini baik-baik. Hari ini cikgu nak uji kamu semua tentang perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu. Faham?


Murid : Faham, cikgu!

Cikgu : Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.

Murid :(senyap).

Cikgu : Pandai!

Murid : Bodoh!

Cikgu : Tinggi!

Murid : Rendah!

Cikgu : Jauh!

Murid : Dekat!

Cikgu : Keadilan!

Murid : UMNO!

Cikgu : Salah!

Murid : Betul!

Cikgu : Bodoh!

Murid : Pandai!

Cikgu : Bukan!

Murid : Ya!

Cikgu : oh Tuhan!

Murid : Oh Hamba!

Cikgu : Dengar ini!

Murid : Dengar itu!

Cikgu : Diam!

Murid : Bising!

Cikgu : Itu bukan pertanyaan, bodoh!

Murid : Ini ialah jawapan, pandai!

Cikgu : Mati aku!

Murid : Hidup kami!

Cikgu : Rotan baru tau!

Murid : Akar lama tak tau!

Cikgu : Malas aku ajar kamu!

Murid : Rajin kami belajar cikgu!

Cikgu : Kamu gila!

Murid : Kami siuman!

Cikgu : Cukup! Cukup!

Murid : Kurang! Kurang!

Cikgu : Sudah! Sudah!

Murid : Belum! Belum!

Cikgu : Mengapa kamu semua bodoh sangat?

Murid : Sebab saya seorang pandai!

Cikgu : Oh! Melawan!

Murid : Oh! Mengalah!

Cikgu : Kurang ajar!

Murid : Cukup ajar!

Cikgu : Habis aku!

Murid : Kekal kami!

Cikgu : O.K. Pelajaran sudah habis!

Murid : K.O. Pelajaran belum bermula!

Cikgu : Sudah, bodoh!

Murid : Belum, pandai!

Cikgu : Berdiri!

Murid : Duduk!

...
...
...
...
..."

Laa.. Bila nak habis daa..

[+] Baca seluruh artikel..

Rabu, Oktober 24, 2007

Puasa enam hari Syawal ..

Tokgurukulan bertazkirah :

Assalamualaikum..

Hatiku terdetik untuk menulis mengenai ibadah puasa enam hari Syawal lantaran ia berkait rapat dengan diri kita sendiri dan kena pulak masanya. Kita sekarang sedang melalui hari-hari itu. Lantas, berbekalkan beberapa sumber dan sedikit kefahaman, aku mengadap komputer dan mula menaip ke dalam blog kami ini. Moga ada lah yang dapat dikongsi bersama-sama pembaca-pembaca sekalian.


Ok. Dalil puasa sunat enam hari pada bulan Syawal ialah hadis Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari daripada bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih : Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, hadis no: 1164 (Kitab As-Siyam, bab Disunatkan Berpuasa Enam Hari Dari Bulan Syawal)].


Puasa sunat enam hari Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang daripada berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri berkata: “Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.” [Sahih : Dikeluarkan oleh Al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1991 (Kitab Al-Saum, bab Berpuasa Pada Hari Aidil Fitri)].

Ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Jadi, puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.

Wujud perbincangan, adakah dibolehkan berpuasa sunat enam hari Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini membuahkan dua pendapat.

Pendapat pertama, dibolehkan menangguhkan puasa qadha berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah s.a.w..” [Sahih : Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, hadis no: 1146 (Kitab As-Siyam, bab Mengqadha Puasa Ramadhan Pada Bulan Syawal). Dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 1950.]

Pendapat kedua, Rasulullah s.a.w. mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian baru lah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Walau bagaimana pun, pendapat kedua ini lah yang lebih rajih (lebih kuat) kerana Aisyah tidak menyatakan sama ada dia melakukan puasa sunat enam hari tersebut pada bulan Syawal atau pun tidak. Yang dinyatakan hanyalah dia menangguhkan puasa qadha. Juga, tidaklah menjadi satu kecacatan baginya jika dia tidak berpuasa sunat tersebut kerana melayani Rasulullah (suami) adalah lebih utama daripada mana-mana ibadah sunat pun. Satu lagi yang dapat difikirkan, jika Aisyah tidak mampu melaksanakan puasa wajibnya (qadha) lantaran melayan Rasulullah (suami), sama sahaja situasinya dengan puasa sunat kerana tuntutan berpuasa adalah sama, sama ada wajib atau sunat.

Moga kita sama-sama mendapat pengajaran daripada peringatan yang sedikit ini.

Wassalam..

[+] Baca seluruh artikel..

Teka-teki 12 ..

Tokgurukulan berteka-teki lagi :

"Bilakah motto 'Terus Maju, Pantang Berundur' tidak berguna sama sekali?"

Erm.. Jom fikir-fikir..

[+] Baca seluruh artikel..

Pukul berapa akan dibuka?

Tokgurukulan berkongsi cerita :

Pada suatu tengah malam telepon di rumah seorang pustakawan berdering.


"Assalamualaikum. Pukul berapa perpustakaan akan dibuka, encik?", seorang pemuda di hujung talian bertanya.


"Pukul 9 pagi, encik. Apa hal yang penting sangat encik menelefon saya tengah malam buta ni?", tanya pustakawan tadi.

"Erk. Tak boleh bukak awal lagi ke?", pemuda itu bertanya lagi dengan nada kecewa.

"TIDAK! Tidak akan dibuka sebelum pukul 9!", si pustakawan menjawab dengan nada yang tinggi.

"Penting sangat ke sampai encik tak boleh tunggu hingga pukul 9 pagi untuk masuk?", pustakawan itu makin bengang.

"Siapa kata saya nak masuk?" kata pemuda itu kesal.
"SAYA NAK KELUAR! HUWAAA!!!"

Ish, ish.. Kesiannya..

[+] Baca seluruh artikel..

Tiga orang kawan ..

Tokgurukulan berceloteh :

"Pada suatu hari, ada lah tiga orang kawan yang sangat karib. Nama mereka ialah Gaduh, Otak dan Gila. Tiba-tiba Gaduh hilang. Lalu Otak dan Gila pun pergi ke balai polis berhampiran. Otak menunggu di luar, dan Gila masuk berjumpa dengan polis yang bertugas.

Gila : Encik, saya nak cari Gaduh.

Polis : Awak ni gila ke?

Gila : Ya.

Polis : Mana otak awak?

Gila : Otak saya di luar.."

Pening.. Pening..
Hahaha..

[+] Baca seluruh artikel..

Teka-teki 11 ..

Tokgurukulan menduga :

Bagaimanakah hendak menghentikan air terjun?

Jawab.. Jawab..

[+] Baca seluruh artikel..

Ahad, Oktober 21, 2007

Khairi datang & beraya di rumah Apen ..

Tokgurukulan bercerita :

Malam tadi, bekas ahli rumah kami, Khairi, datang dari kampungnya di Perak. On the way nak ke Johor sebenarnya. Tempat kerja dia. Sebelum sampai sini, dia ke Shah Alam dulu, hantar adiknya di situ. Akhirnya, alhamdulillah, sampai jugak dia di teratak kami.

Lepas maghrib, dia keluar beraya dengan AbgAlias. Mengambil kesempatan singgah di KL ni untuk menziarahi rakan taulan di sekitar ibu kota ini. Tinggal lah aku, AbgZahar, dan Izuddin kat rumah. Secara mudahnya, BIZARRE lah yang tinggal kat rumah ketika itu. Hehe.. Erm, setakat ni, ramai yang dah sampai dari kampung. Yang belum sampai cuma Iidil dan Pak Ya (baru masuk rumah ni 2-3 bulan dan mungkin hanya untuk sementara waktu. Belum diceritakan mengenai Pak Ya dalam blog ni).


Lepas isyak, AbgAzwan Che Mood, jiran kami di rumah bawah, datang. Dia memang dah beritahu AbgZahar, dia nak mintak tolong kami angkat perabot-perabot di rumahnya. Dia nak susun semula sebagai persediaan menyambut bayinya nanti. Sekarang, dia keseorangan di sini. Isterinya dihantar pulang ke kampung. Menunggu saat kelahiran bayi.

Mula-mula tu, dia tunggu jugak ahli rumah kami yang lain balik. Tapi akhirnya, kami bertiga je yang ada. Kalau nak tunggu yang lain balik, rasanya lagi lambat boleh mulakan kerja. Lagi lambat mula, lagi lambat lah habis.

Walaupun berjiran, inilah kali pertama aku masuk ke rumahnya. Ye la. kalau saje-saje nak masuk, segan dengan orang yang dah berkeluarga ni. Ni kira peluang la. Sambil-sambil beraya. Pukul 10.00 malam, kami ke rumahnya kat bawah. Pindah almari, peti sejuk, dan susun meja sikit, siap la. Lepas tu, beraya la. Rasa dua tiga jenis biskut raya, cukup la. Balik rumah, tertidur terus. Tapi sebelum tu, sempat lagi bagi makan ikan-ikan kesayangan. Hehe..

Pagi tadi, kami bersiap untuk ke rumah Apen. Apen pun bekas ahli rumah ni. Dia memang jemput kami ke rumahnya sebelum dia balik ke tempat kerjanya di Sabah. Rumahnya di Sungai Buloh. Kalau nak dikira dari rumah kami, boleh dikatakan tak berapa jauh. AbgZahar tak nak ikut. Tak tahu pulak kenapa. Hmm.. kenapa ye..? Ok. Yang lain semua ikut. Aku, AbgAlias, Khairi, Shah, Pidut, Izuddin. Naik kereta baru Zukhairi. Hyundai Getz warna biru. Cantik. Warna tu antara favorite aku. Hehe..


Tiba di tol, berlaku pulak sedikit perlanggaran. Hyundai Getz Khairi terlanggar belakang sebuah kereta Proton Waja! Apa yang aku nampak, itu bukanlah suatu kes yang teruk sebab masa tu kereta memang tengah slow sebab di tol. Mungkin terlalai sedikit daripada menekan brek. Drivernya perempuan. Berlaku sedikit pertengkaran lidah yang tak suka untuk aku ceritakan di sini. Selepas beberapa puluh minit, akhirnya perkara itu diselesaikan dengan cara baik. Entah la. Aku tak suka situasi yang tegang seperti itu. Harapnya selesai la setakat itu sahaja.

Kami sampai agak lambat di rumah Apen disebabkan accident tadi. Kampung Kubu Gajah. Erm, first time aku sampai di kampung tu. Makan mee jawa. Sedap! Lepas borak itu dan ini dengan Apen, kami balik ke rumah dengan selamatnya.

Agak petang sikit, Khairi bertolak ke Johor. Sekian diceritakan..

[+] Baca seluruh artikel..

Teka-teki 10 ..

Teka-teki Tokgurukulan :

Aku berteka-teki lagi..

"Apakah benda, makin kita lihat ia, makin ia bergerak ke belakang?"

Fikir-fikirkan..

[+] Baca seluruh artikel..

Rabu, Oktober 17, 2007

Aku dah balik ke KL..

Tokgurukulan bercerita :


Pagi tadi, aku selamat sampai di stesen putra pukul 5.30 pagi. Selepas solat Subuh di situ, naik komuter, kemudian bas, sampai la aku di rumah SevenHeroes ni pukul 8.00 pagi. Belum ada sesiapa yang balik ke sini. Lampu luar memang dibiar terpasang. Sudah diputuskan begitu kerana risau bila waktu malam kalau rumah bergelap waktu semua jiran balik kampung macam ni. Risau akan keselamatan rumah daripada penceroboh yang tidak diingini masuk tanpa izin. Cuma bila aku bukak pintu rumah, satu lampu dalam rumah terpasang. Hmm. Siapa agaknya yang balik kampung last sekali?


Meninjau situasi rumah yang ditinggalkan beberapa hari, aku terus melihat ikan-ikan kesayanganku yang ditinggalkan beraya di sini. Kesian, beraya kat KL. Nasib baik la tuannya ni dapat balik beraya di kampung. Alhamdulillah, sihat-sihat semuanya. Small golden fish yang tiga ekor tu, perut masing-masing masih kembung dan bulat macam biasa. Suka aku tengok. Tiada kes kebulur. Tengok di sisi akuarium buatanku itu, ada 'AQUAPET Weekend Food Block'. Erm. Nampaknya ada orang tolong belikan makanan ikan ni. Makanan ni yang jenis tahan lama dalam air. Sesuai bila nak ditinggalkan beberapa hari macam balik raya ni. Nama pun weekend. Hujung minggu. Hari cuti. Bila tuan ikan nak balik cuti, ikan dapat makanan yang cukup! Aku tak tahu pulak ada makanan macam ni. Ni pun aku tahu lepas baca info kat belakang pack tu tadi. Hehe. Aku dah risau kot-kot ada ikan-ikan tu yang mati kebulur. Hmm.. Siapa agaknya yang prihatin pada mereka (mereka? macam manusia pulak! Haha..) tu ye?

Atas meja pulak, ada biskut-biskut raya. Aku ingat, aku la orang pertama yang akan meletakkan biskut-biskut raya yang aku bawak ni kat atas meja tu. Aik? Dah ada orang lain ke yang sampai lebih awal daripada aku? Nampak gaya macam aku orang first. Tapi biskut-biskut raya ni mengkonfiuskan aku. Takpe la. Aku tunggu je la jawapan kepada persoalan-persoalan tu semua nanti.

Aku on PC. Bukak lagu. Tak la rasa sunyi sangat. Sebenarnya, memang terlalu awal aku balik KL ni. Tapi, perasaan tak tenteram kalau berada di kampung lama-lama. Persediaan untuk final exam, dan kerja-kerja production yang selalu memerlukan kepantasan dan komitmen, membuatkan aku membuat keputusan untuk segera balik ke sini. JIka diikutkan mood raya, memang lambat lagi la habis nye. Takpe. Aku kena beritahu kepada diri bahawa aku harus berkorban kali ni. Berkorban untuk masa depanku. Aku tidak mahu lagi mengulang kesilapan dulu. Biarlah aku bina keyakinan dan kejayaan atas kekecewaan dan kegagalanku di masa silam.

Aku bukak blog ni. Lama tak post dalam blog walaupun kat kampung ada internet dan pernah singgah di sini. Internet ada. Cuma kat kampung, banyak kerja yang perlu dilakukan. Persiapan sebelum raya; bersihkan kawasan rumah, susun semula letak atur kerusi meja, dan buat biskut raya bersama adik-adik. Masa raya; layan tetamu, main-main dengan baby (kerja ke? hihi..), persiapan untuk majlis bercukur baby yang dibuat pada 3 Syawal, dan kesibukan pada majlis itu sendiri. Internet digunakan untuk sesi YM bersama Abecik di New Zealand. Itu pun susah nak sama-sama online. Masa kita beraya, dia sibuk. Waktu malam, dia dah pukul 2-3 pagi. Waktu dia tidur! Sebab tu la sampai dia terpaksa korbankan waktu tidur dia untuk masa bersama keluarga. Hehe. Sekali tu, dia bangun pukul 1 pagi (kita baru pukul 8 malam) semata-mata untuk conference bersama kami! Dapat la dia tengok anak buah kami. Dapat tengok mok (nenek), mak-mak sedara dan pak-pak sedara. Oh indahnya hidup ini jika dipenuhi dengan kasih sayang!

Eh.. jauh pulak menyimpang. Erm. Petang tadi, Shah sampai. Mak ayah dia hantar. Fuh! Lega. Tak la aku keseorangan malam ni. Sampai-sampai je, setelah tanya itu ini, barulah aku tahu bahawa dia lah yang prihatin pada ikan-ikan aku tu. Nanti la aku bayar harga makanan ikan tu. Lagi pun, itu ikan-ikan aku. Aku berterima kasih pada Shah. Rupa-rupanya, biskut-biskut yang ada tu, dia yang bawak. Mak ayah dia bagi masa datang ambik dia balik kampung. Ooo, baru aku faham. Ingat kan sape la yang dah balik sini. Memang sah lah aku orang pertama yang sampai! Semua persoalan sudah terjawab. Cuma satu je belum berjawab. Agaknya siapa ye yang tak off lampu dalam rumah? Hmmm..

[+] Baca seluruh artikel..

Selasa, Oktober 16, 2007

Cepatnya masa!!

Tokgurukulan mencoret :

Assalamualaikum..

Bertemu kembali, setelah kita masing-masing menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal yang baru lepas.

Masa memang tidak pernah menunggu kita. Buktinya dah selalu kita rasa. Tahun ini kita melaluinya lagi. Ramadhan datang dan pergi dengan begitu cepat. 30 hari yang dilalui tidak terasa sepanjang bilangan hari-hari itu. Seakan hanya 30 detik. Mungkin 30 detik itu hanya 3 hari. Mungkin juga hanya 3 saat! Cepatnya masa, dan ia seringkali mencemburui kita.


1 Syawal yang disambut juga telah berlalu meninggalkan kita. Hari ini sudah mencecah 4 Syawal. Kita masing-masing menikmati hari kemenangan pada 1 Syawal yang lalu dengan cara dan pilihan tersendiri. Ada yang menghabiskan hari itu bersama keluarga tercinta. Ada yang mengambil peluang ini untuk balik kampung bertemu atuk dan nenek. Bahkan, ada juga yang tidak dapat meraikannya bersama famili. Mungkin dek kerana tugas yang amat memerlukan khidmatnya, atau juga tuntutan study yang begitu mendambakan komitmen di perantauan.

Selamat Berhari raya kepada semua!!

[+] Baca seluruh artikel..

Rabu, Oktober 10, 2007

Tadarus, kemudian Uptown!

Tokgurukulan melaporkan :

Assalamualaikum kembali..

Ramadhan makin ingin meninggalkan kita. Syawal pula kian melambai-lambai agar disambut segera. Terasa begitu cepat Ramadhan berlalu, lebih-lebih lagi di 10 akhir ini.

Malam ini, kami, SevenHeroes, seperti malam-malam sebelumnya juga, meneruskan aktiviti tadarus. Tarawih, masing-masing memilih untuk ke mana-mana masjid mengikut citarasa dan keselesaan tersendiri. Bila pulang dari Tarawih, kami sama-sama bertadarus di rumah. Tiada paksaan. Siapa yang berkelapangan, boleh menyertainya. Jika ada komitmen lain, boleh menguzurkan diri.

Memandangkan kita sudah menghampiri Syawal, dan ada yang akan balik kampung, kami memutuskan untuk menghabiskan tadarus kami malam ni. Lagi dua juzuk. Kami bertekad untuk menghabiskannya juga. Pidut dan aku akan balik kampung esok. Yang lain pun akan menyusul kemudian.


Setelah berjaya menghabiskan tadarus 30 juzuk kami lebih kurang pukul 11.30 malam, seperti yang dirancang siang tadi, kami akan meraikan dengan sedikit aktiviti MAKAN di Uptown. AbgZahar nak belanja! Terima kasih AbgZahar!

Kami pun mula bersiap dan bertolak ke sana. Semua kami ada. Cukup 7 orang. Lengkap kami sebagai SevenHeroes! Huhu.. Aku, AbgZahar, Izuddin, dan Iidil order chicken chop. Shah memilih untuk mencuba chicken grill. AbgAlias tak nak makan ayam. Dia order mee bandung. Pidut pun sama. Memilih mee bandung. Mungkin masih kenyang dengan juadah berbuka tadi.

Kembali sekejap ke petang tadi. Lupa tadi. Sebenarnya, hari ni kami berbuka kat rumah bersama-sama. Kami belum sempat berbuka sama-sama. Ada saja hal yang membuatkan kami tidak berpeluang berkumpul. Ada yang berbuka di masjid. Masjid pulak banyak pilihan. Ada tiga pilihan. Masjid Taqwa, Masjid Ghufran, dan Masjid Kg. Sg. Penchala. Kadang-kadang, ada juga yang berbuka sorang-sorang kat rumah. Kadang-kadang tu pulak, ada yang berbuka di luar bersama teman-teman sekerja dan sebagainya. Masing-masing ada agenda berbuka tersendiri. Hari ni lah kami berusaha untuk mengosongkan jadual berbuka di tempat lain. Kami ingin berkumpul, berbuka bersama. Alhamdulillah, kami berjaya! Cuma, Iidil balik lambat sikit. Kami berbuka dengan nasi beriani! Banyak. Ramai tak habis. Tapi aku akhirnya berjaya menghabiskan! Hahaha..

Kembali ke malamnya tadi, di Uptown. Waktu-waktu berkumpul sebegini lah, macam-macam lawak keluar daripada mulut masing-masing. Tiada niat untuk mengenakan sesiapa. Cuma ingin merapatkan ikatan persaudaraan antara kami. Biar sentiasa segar. Kadang-kadang, Pidut yang kena. Kadang-kadang tu pulak, Shah. Tapi Shah la yang menjadi target utama kami malam ni! Hehe.. Sori Shah. Inilah masanya untuk kita gurau-gurau begini. Aku dah nak kawin tak lama lagi.. (Uups.. terbocor rahsia..)

Pukul 12.30, kami bertolak balik. Tak lama. Sekadar meraikan diri kami sendiri. Moga ia menjadi sejarah manis yang terukir dalam diari hidup kami. Mengenali dan bersama kalian adalah kenangan terindah dalam hidupku.. Terima kasih sahabat-sahabat! (Tiba-tiba terlebih sentimental pulak.. Terharunya..)

Babai..

[+] Baca seluruh artikel..

Template ini disediakan oleh Tokgurukulan