Selasa, Februari 26, 2008

Bizarre dan perkembangannya..


Tokgurukulan menulis :

Assalamualaikum..

Di saat-saat akhir zaman bujangku ini, terasa sayu pula di hati. Di samping teruja untuk memasuki alam baru, bermacam-macam perasaan bercampur-baur. Walau tidak terpancar di wajah, namun gelora di sanubari tiada siapa yang memahami, kecuali orang yang pernah melaluinya. Terasa banyak pula luahan ingin dikongsi dalam blog ini, lantaran perasaan yang tidak menentu ini.


Ahad lepas, 24 Februari 2008, Shah telah mengikuti workshop Dr. Irfan Khairi. Banyak input yang dia dapat, dan dikongsi bersama-sama. Mungkin akan ada idea-idea baru selepas ini, di samping idea untuk melebarkan sayap Bizarre.



Kita kembali seketika kepada beberapa bulan yang lepas, iaitu info mengenai seorang ahli rumah kami, Izuddin. Sebenarnya, Izuddin telah pun balik kampung. Bizarre adalah terdiri daripada kami bertiga, iaitu aku, AbgZahar, dan Izuddin. Izuddin telah meninggalkan kami secara tiba-tiba ketika itu. Tidak lagi ingin meneruskan kerja-kerja production bersama Bizarre.

Ketika itu, aku agak terkesima kerana aku baru sahaja balik dari kampung. Tiba-tiba, dia menghilang tanpa aku diberitahu. Semua tertanya-tanya, sama ada Izuddin balik kampung hanya untuk bercuti, atau tidak akan kembali lagi. Aku tidak mewarwarkan berita ini ketika itu kerana aku masih terasa akan kehilangannya di kala begitu banyak kerja-kerja Bizarre yang selama ini ditanggung bertiga, kini mesti diharungi berdua sahaja.


Jika dia memang ada perancangan lain, aku cuba pujuk diri sendiri supaya menghormati keputusannya. Setelah sekian lama menyimpan rasa ini, rasanya tidak salah jika hari ini aku meluahkannya di sini. Semoga dia menemukan apa yang dicari.


Terasa kuat kembali bila Shah sudi membantu. Kami (aku dan AbgZahar) bercadang untuk menyerahkan urusan marketing Bizarre kepada Shah, dan dia bersetuju. Setelah dia menghadiri workshop tu, nampaknya lebih banyak idea yang dia dapat sumbangkan. Semangat pun nampaknya begitu berkobar-kobar!

Mengenai aku pula, aku tidak akan meninggalkan Bizarre. Aku akan kembali bersama-sama Bizarre selepas selesai semua urusan perkahwinanku nanti.

Terima kasih, Shah. Kita akan sama-sama menjayakan Bizarre kita!

Tiada ulasan:

Template ini disediakan oleh Tokgurukulan