Assalamualaikum..
Setelah lama tidak menulis dalam blog ini, tergerak di hati untuk menekan jari-jemari pada papan kekunci ini agar tercoret apa jua yang terlintas di benakku ketika ini. Walaupun menulis bukanlah kepakaran kita, tapi percayalah, bila kita sudah mula menukilkan sesuatu, pasti jari-jemari akan terus menari-nari untuk menghasilkan sesuatu yang bisa menggambarkan isi hati kita..
Alhamdulillah, blog ini makin meriah dari hari ke hari, minggu ke minggu. Moga tercetuslah pelbagai idea daripada kami yang bermacam-macam ragam ini. 7 orang tentunya akan menghasilkan sekurang-kurangnya 7 perangai yang berbeza-beza. Peribadi dibentuk daripada pelbagai faktor. Salah satunya ialah faktor didikan keluarga.
Aku sendiri dilahirkan dan dibesarkan di Kelantan. Pidut (Firdaus), sudah tentunya Pahang. Iidil, Terengganu. Walaupun sama-sama dari pantai timur, tapi ini tidak menjanjikan peribadi kami sama. Abang Alias, kelahiran Perak. Shah pulak orang Johor walaupun asalnya juga Perak. Abang Zahar (Aidan Z) dan Izuddin, sama-sama orang Melaka.
Untuk saling memahami, di sinilah perlunya pengorbanan, tolak ansur, kerjasama, dan banyak lagi formula persahabatan. Persahabatan secara teorinya kedengarannya amat mudah tapi bila cuba diaplikasikan, bila tidak kena caranya, seolah-olah amat sukar untuk ditemukan persefahaman itu. Tapi percayalah, bila kena caranya dan cuba diamalkan formula-formula tersebut, terasa segalanya mudah dan tenang di hati kerana masing-masing sudah sebati persefahamannya, sehinggakan tiada lagi ragu dan ketidakpercayaan dalam hubungan itu.
Alangkah indahnya jika kehidupan berjemaah ini dapat dihayati dengan ikatan hati yang benar-benar utuh..