Rabu, Oktober 03, 2007

Bermulanya aku sebagai "ayohngoh"..

Tokgurukulan kembali menulis :

Assalamualaikum..

Setelah sekian lama menyepi daripada mencoret sesuatu di ruangan blog ini, aku gagahkan juga untuk menaip di samping tugasan-tugasan yang makin memberat di bahu. Maaf dipohon daripada pengunjung-pengunjung blog ini yang masih juga setia singgah walau seketika.

Alhamdulillah, sedar tak sedar, kita dah pun masuk 10 akhir Ramadhan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Rasa baru sahaja berpuasa tahun lepas. Tup-tup, ni dah masuk 10 akhir Ramadhan tahun berikutnya. Usia makin meningkat. Amal yang masih di takuk lama, harapnya dapat digandakan dari hari ke hari.


Dalam kesibukan tugasan-tugasan di samping ibadah puasa, berkejar-kejar untuk berbuka puasa dan tarawih di Masjid Taqwa, dan balik ke rumah pula, bertadarus bersama pahlawan-pahlawan merangkap ustaz-ustaz SevenHeroes, aku juga sebenarnya menunggu hari yang cukup bermakna dalam hidupku. Aku belum punya anak buah. Kaklong sekarang menunggu hari sahaja untuk melahirkan anak sulungnya.

Kaklong sejak hujung minggu ni memang sudah bersedia balik kampung. Menunggu saat-saat kelahiran bayi pertamanya. Kiranya, dia terus bercuti daripada mengajar di Perak tu sehingga habis cuti bersalin.

Pagi tadi, lepas sahur, aku mendapat mesej daripada nombor telefon Kaklong. Tak pasti pula siapa yang menghantarnya tapi yang pastinya, bukan Kaklong, sebab, mesejnya berbunyi begini "Abengoh, Kaklong gi spital doh lepas sahur td. Sakit perut. Tak akan bedah. Beranak biasa." Mungkin AbeTeh yang pegang henset Kaklong.

Setelah berehat seketika, lebih kurang pukul 10.30 pagi, aku call Ma. Nak tahu apa perkembangan Kaklong di hospital. Ma kedengarannya gembira di hujung corong hensetnya itu. Ye, Ma sudah pun bergelar "Tok Ma", manakala Abah pula akan dipanggil "Tok Abah". Ma cakap, Kaklong sudah selamat melahirkan anak perempuan pada pukul 9.15 pagi tapi Ma belum masuk tengok. Walaupun kedudukan bayi songsang, tapi alhamdulillah, Kaklong dapat bersalin secara normal tanpa perlu dibedah. Memang jarang berlaku begini. Biasanya, jika songsang, memang akan dibedah. Mok (nenekku) pun ada sekali. Menunggu bersama Ma. Yang menemani Kaklong di dalam hanyalah Abelong; suaminya.

Akhirnya saat itu tiba jua. Bagi orang yang baru pertama kali mendapat anak buah seperti aku, tidak dapat digambarkan perasaan gembira yang amat sangat. Raya kali ini akan lebih meriah dengan kehadiran insan comel itu. Tak sabar rasanya ingin menatap wajah kecilnya. Mesti ada juga iras-iras Ayohngohnya ini. Hehe..

Kakcik, akan dipanggil Cik La, Abecik akan dipanggil Ayohcik, Ita akan dipanggil Cik Ta, AbeTeh akan dipanggil AyohTeh, TekDa akan dipanggil Cik Da, E akan dipanggil Ayoh E, dan adik bongsuku, Aziha, akan dipanggil Cik Ha @ Cik Su Ha..

Cik Ha @ Cik Su Ha yang berumur 5 tahun akan beraya dengan anak buahnya kali ni. Mungkin mereka akan menjadi teman sepermainan nanti. Seronoknya hidup ini.

Itu baru anak buah, tapi aku dah rasa seronok sangat. Akan tiba saatnya, aku akan menyambut anakku sendiri. Azan ke telinga kanannya, iqamah ke telinga kirinya, sebagaimana sunnah Baginda. Bila ya? Tunggu. Akan tiba waktunya nanti..

Salam Ramadhan..

Tiada ulasan:

Template ini disediakan oleh Tokgurukulan