Isnin, Oktober 08, 2007

Masjid oh masjid ..

Tokgurukulan meluahkan rasa :

Assalamualaikum..

Ramadhan kali ini, boleh dikatakan menjadi rutin harian, berbuka di Masjid Taqwa, solat Maghrib, Isyak, dan terus Tarawih di situ. Jarang sangat berbuka di rumah. Satu kelainan berbanding tahun lepas. Tahun lepas, aku kerap berbuka di Masjid Ghufran. Pilihan itu dibuat kerana di Masjid Ghufran, sewaktu berbuka, hanya dihidangkan bubur lambuk, kurma dan air terlebih dahulu, dan dihidangkan di ruangan masjid. Selepas solat Maghrib, baru jemaah akan dihidang dengan juadah nasi dan lauk-pauk yang dihidangkan di tingkat bawah di meja-meja yang khusus untuk majlis makan seperti ini.

Tak sangka pulak tahun ni langsung tidak menjejakkan kaki di masjid yang juga dikenali sebagai Balai Islam itu, sama ada untuk berbuka mahu pun solat Tarawih di situ. Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, atau lebih dikenali sebagai Masjid Kg. Sg. Penchala, lagi la jarang berbuka mahu pun Tarawih.


Jika nak ditulis di sini perbezaan antara Masjid Taqwa dan lagi dua masjid tu, boleh la diceritakan sedikit di sini. Sepanjang Tarawih di Masjid Ghufran tahun lepas, sebenarnya hati tidak sedap bila bacaan imam tidak tepat. Seolah-olah tajwid diabaikan. Hati sentiasa meronta bila ada bacaan silap. Tertanya-tanya juga dalam diri, bagaimana pemilihan imam dijalankan? Aku rasa bersalah sangat bila terkenang kembali Tarawih tahun lepas yang banyak sakit hati dengan bacaan imam.

Erm, di Masjid Kg. Sg. Penchala, jarang sangat aku Tarawih kat sana tahun lepas. Kalau ada pun, imam membaca surah-surah lazim, dan tiada banyak silap. Mungkin kerana surah-surah lazim ni memang selalu didengar oleh sesiapa saja. Cuma pada tahun ni, ada la sekali aku solat Tarawih di situ. Al-Quran besar diletakkan di depan imam. Ini merupakan satu peningkatan daripada hanya membaca surah-surah lazim. Itu tidak menjadi masalah kerana imam tidak menghafal ayat-ayat yang akan dibaca. Cuma masalahnya, tajwid juga lintang-pukang sebagaimana Masjid Ghufran. Aku rasa, itu imam baru. Aku sekali lagi terfikir. Bagaimanakah pemilihan dilakukan? Erm..

Tahun ni, aku membuat keputusan untuk Tarawih di Masjid Taqwa. Tahun lepas, aku jarang pergi ke sana memandangkan lokasinya jauh sedikit daripada lokasi dua buah masjid lagi. Tidak dinafikan, bacaan imam-imam Masjid Taqwa memang diakui tajwidnya. Bila bacaan tepat, hati pun tenang dalam solat sambil mendengar bacaan imam. Alang-alang Tarawih di situ, berbuka pun aku pilih untuk terus ke masjid tersebut.

Di Masjid Taqwa, berbuka puasa terus dihidangkan dengan juadah nasi sebaik sahaja azan dikumandangkan. Dihidangkan di meja-meja di satu ruang masjid yang dikhususkan untuk majlis-majlis sebegini. Imam Hafiz Anwar Al-Hafiz & Imam Abu Qatadah Al-Hafiz adalah imam tetap Masjid Taqwa merangkap imam Tarawih tahun ini. Hatiku menjadi tenang dengan bacaan yang tepat. Lagunya dah terletak nombor dua. Jika bacaan pun sedap didengar dan mendayu-dayu di samping bacaan yang terpelihara, itu memang lagi bagus. Hatiku terpaut kepada Masjid Taqwa!

Maafkan diriku sekiranya menyentuh mana-mana pihak. Aku hanya ingin meluahkan apa yang terbuku di hati.

Sekian diceritakan..

Tiada ulasan:

Template ini disediakan oleh Tokgurukulan