Khamis, Mei 03, 2007

Bersin dan adab dalam menghadapinya ..


Tokgurukulan menukilkan :

Assalamualaikum..

Terdetik di hatiku untuk menukilkan peringatan ini kerana bersin dan kita memang tidak dapat dipisahkan. Sebenarnya, aku lah antara yang selalu dilanda 'ujian' ini. Disebabkan bersin ni boleh dikatakan selalu menghiasi ruangan udara rumah kami, rasanya elok benar untuk diutarakan di dalam blog ini mengenai tatacara beradab ketika bersin dan ketika mendengar bersin. Akan diterangkan satu-persatu agar mudah difahami. InsyaALLAH, amatlah mudah untuk diamalkan. Cuma kadang-kadang kita terlepas pandang untuk perkara-perkara yang kecil seperti ini.

Dalam situasi berlakunya bersin, sekurang-kurangnya ada 2 orang yang terlibat; pembersin dan pendengar bersin. Pembersin hanya seorang. Pendengar pula mungkin hanya seorang, dan mungkin ramai. Bila terbersin, pembersin amatlah digalakkan untuk mengucap hamdalah, memuji ALLAH, iaitu 'ALHAMDULILLAAH'. Jika ada yang mendengar bersin dan hamdalah tersebut, dia disunatkan untuk menjawab hamdalah tersebut dengan mengucap 'YARHAMUKALLAAH' atau 'RAHIMAKALLAAH'. Jika pembersin tadi mendengar ucapan tersebut, sunat pula dia menjawab ucapan doa itu dengan berdoa kembali kepada pendengar bersin tersebut dengan mengucap 'YAHDIIKUMULLAAH'. Memadailah dengan itu, atau untuk tambahan, boleh juga disambungkan sedikit lagi iaitu dengan ucapan 'YAHDIIKUMULLAAH WA YUSHLIHU BAALAKUM'..


Maksud bagi ucapan dan doa-doa di atas ialah :-

ALHAMDULILLAAH - Segala puji bagi ALLAH ..

YARHAMUKALLAAH @ RAHIMAKALLAAH - Semoga ALLAH merahmatimu ..

YAHDIIKUMULLAAH WA YUSHLIHU BAALAKUM - Semoga ALLAH memberi petunjuk dan memperelokkan keadaanmu ..


Secara mudahnya, dapatlah disimpulkan seperti di bawah :-

Pembersin : الحَـمْــدُ ِللهِ

Pendengar bersin : يَرْحَـمُــكَ اللهُ atau رَحِـمَــكَ اللهُ

Pembersin : يَـهْـديـكـُـمُ اللهُ atau يَـهْـديـكـُـمُ اللهُ وَيُـصْـلـِـحُ بَالـَكـُـمْ


Setiap peraturan ALLAH, sudah pasti ada hikmahnya. Cuma 2 kemungkinan yang pastinya, iaitu, sama ada kita nampak hikmah tersebut atau sebaliknya. Apabila kita bersin, sebenarnya badan kita mengeluarkan apa yang tidak elok untuk badan. Kerana itulah kita amatlah disarankan untuk memuji ALLAH di atas nikmat tersebut. Setelah itu, berlakulah doa yang berbalas-balas. Masing-masing mendoakan saudara seagama. Mulia dan indahnya deen kita; ISLAM..

Setakat ini sahaja dulu, apa yang mampu dikongsi bersama. Moga sedikit nukilan ini dapat sama-sama dihayati dan diamalkan..


Tiada ulasan:

Template ini disediakan oleh Tokgurukulan