Semua orang ingin berkahwin. Bagiku, manusia berkahwin untuk memenuhi tuntutan fitrah insani. Ia juga adalah sunnah baginda Rasulullah. Di sebalik itu pula, terkandung banyak perkara yang tersirat. Tanggungjawab, kerjasama, toleransi, pengorbanan, persefahaman, dan banyak lagi yang tidak mampu ditulis di sini..
Aku terpandang satu buku terjemahan Abdul Malik Al-Qosim, "Istri Shalihah Anugerah Terindah", muka 53-54. Judul asalnya daripada buku berbahasa Arab.
Aku petik satu kisah yang amat membuat diriku berfikir mengenai kehidupan yang membawa seribu erti dalam kehidupan manusiawi itu.
"Dikisahkan bahawa Umar bin Khattab ketika menjadi khalifah, melarang penjual susu mencampurnya dengan air. Suatu malam, beliau keluar di pinggiran Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar seorang ibu sedang berdialog dengan puterinya :-
Ibu : 'Tidakkah engkau mencampur susumu pagi ini?'
Jariyah : 'Bagaimana saya akan mencampurkannya padahal Amirul Mukminin melarangnya?'
Ibu : 'Orang-orang juga mencampurkannya. Maka campurkanlah. Amirul Mukminin tidak akan tahu.'
Jariyah : 'Kalaupun Umar tidak mengetahui, tetapi sesembahan Umar mengetahui. Saya tidak akan melakukan itu kerana beliau melarangnya.'
Sungguh dialog tersebut mengesankan di hati Umar. Maka pagi harinya beliau memanggil Ashim, puteranya dan berkata : 'Wahai anakku, pergilah ke desa anu dan anu, carilah informasi tentang gadis itu (Umar menyebutkan ciri-cirinya).'
Lalu pergilah Ashim untuk mencari. Ternyata dia adalah dari Bani Hilal. Umar berkata : 'Pergilah wahai anakku dan nikahilah gadis itu. Alangkah layaknya dia melahirkan seorang pahlawan yang memimpin bangsa Arab.' Kemudian Ashim bin Umar menikahinya.
Pernikahan tersebut melahirkan Ummu Ashim bin Ashim bin Umar bin Khathab. Ummu Ashim dinikahi oleh Abdul Aziz bin Marwan bin Hikam, lalu pernikahan tersebut melahirkan khalifah Umar bin Abdul Aziz."
Kisah ini dirujuk daripada Sirah Umar bin Abdul Aziz oleh Ibnu Abdil Hikam.
Begitu kuat kesannya memilih isteri yang solehah. Dari pemilihan yang teliti itu, maka lahirlah khalifah yang begitu hebat. Hebatnya kuasa Pencipta. Pemilihan kita sekarang menentukan generasi akan datang. Jika kita ingin generasi depan kita sekental Umar bin Abdul Aziz iman dan semangatnya, semuanya adalah bermula dari sini. Berusahalah ke arah itu. Moga hidup kita dan generasi kita akan dirahmati olehNYA..
1 ulasan:
Buku 'Istri Shalihah Anugerah Terindah' boleh didapati di pasaran..
Catat Ulasan