Kuliah Subuh
Oleh: Ustaz Ahmad Faisal (UM)
Tempat: Masjid Taqwa, TTDI
Muqaddimah
Manusia tidak boleh hidup sendirian di atas muka bumi ini. Allah menyebut di dalam Al-Quran bahawa, Wanita itu pakaian bagi Lelaki dan Lelaki itu pakaian bagi Wanita.
Manakala Rasulullah SAW sendiri juga menyuruh kita memilih pasangan hidup berdasarkan agamanya, dan kemudian barulah diikuti dengan rupa, harta dan kedudukannya.
Isi
Namun, kuliah hari ini bukanlah berkaitan tentang hubungan lelaki dan wanita. Sebaliknya ia berkaitan dengan Mu’amalah sesama manusia, yakni perhubungan lelaki dengan lelaki, dan perempuan dengan perempuan.
Atau dalam perkataan lain, PERSAHABATAN.
Islam menyuruh kita memilih teman atau rakan, sebagaimana kita berhati-hati memilih pasangan hidup kita.
Dalam sebuah hadis Rasulullah menyebut bahawa seseorang itu akan dibangkitkan di akhirat nanti dengan siapa yang menjadi kawan karibnya di dunia ini.
Driwayatkan seoang lelaki telah datang berjumpa dengan Ibn Abbas r.a. dan bertanya bertanya kepada beliau bagaimanakah keadaannya seorang lelaki yang banyak beribadah, berpuasa, berzikir dan sebagainya secara berseorang diri, namun tidak bergaul dengan manusia lain.
Dengan tegas Ibn Abbas r.a. menjawab, ‘Saksikanlah bahawa lelaki itu adalah penghuni neraka!’
Itu adalah kerana seorang Mu’min yang banyak bergaul dengan manusia, kemudian dia bersabar, yakni apabila diuji dengan ujian yang mengajaknya ke arah maksiat, pergaduhan, kemarahan dan sebagainya adalah orang yang jauh lebih baik daripada yang duduk bersendirian untuk beribadah bagi mengelakkan diri mereka daripada diuji.
Apatah lagi ujian itu adalah perlu untuk menguji tahap keimanan kita kepada Allah SWT.
Kerana Allah telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
‘Adakah kamu menyatakan kamu sudah beriman sedangkan kamu tidak diuji.’
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud, Rasulullah memberitahu bahawa seorang lelaki yang solat secara berjemaah bersama seorang lelaki yang lain, lebih disukai oleh Allah daripada seorang lelaki yang solat bersendirian. Manakala seorang lelaki yang bersolat bersama dua orang lelaki yang lain, lebih disukai oleh Allah daripada seorang lelaki yang solat bersama seorang lelaki yang lain... dan seterusnya. Yakni Allah semakin suka dengan jumlah jamaah yang semakin besar, dan bersama-sama menunaikan solat kepadaNya.
Itu adalah antara sebab mengapa solat berjemaah sangat dituntut dalam Islam kerana antara lain ia juga bertujuan supaya seseorang Muslim itu dapat bergaul antara satu sama lain dan bermu’amalah sesama sendiri.
Namun perhatikan firman Allah SWT ini:
الأخِـلاءُ يَـوْمَــئِـذٍ بَـعْضُـهُـمْ لِـبَـعْضٍ عَــدُوٌّ إِلا الْـمُـتَّــقِــينَ
(٦٧)
‘Teman-teman aqrab pada hari itu ( hari kiamat ) sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain melainkan orang-orang yang bertaqwa.’
Surah Az-Zukhruf: 67
Di dalam penerangannya, Ust Faisal menerangkan bahawa apa yang dimaksudkan daripada ayat di atas adalah apabila seseorang itu dibangkitkan dari kubur kelak, rakan-rakan yang menjadi teman rapatnya semasa di dunia ini akan menjadi musuhnya sendiri pada hari kiamat nanti, melainkan orang-orang yang bertaqwa.
Sebuah hadis Rasulullah ada menyebut:
3 perkara yang apabila ada pada seseorang itu, dia akan merasakan kemanisan iman:
- Mengasihi Allah dan RasulNya lebih daripada dia mengasihi dirinya sendiri.
- Mengasihi sahabatnya hanya semata-mata kerana Allah.
- Membenci untuk dimasukkan ke dalam neraka lebih daripada segala-galanya.
Merujuk kembali kepada ayat Al-Quran di atas, tidak sukar untuk mengetahui bahawa apa yang dimaksudkan dengan teman-teman yang apabila dibangkitkan pada hari kiamat kelak, akan menjadi musuh sesama sendiri adalah orang-orang yang apabila bersahabat, persahabatan mereka bukanlah persahabatan yang ikhlas kerana Allah!
Dalam hal ini, Rasulullah telah menggariskan beberapa panduan dalam bersahabat:
- Apabila bersahabat, haruslah kerana Allah, dan bukannya kerana pangkat, bangsa, kedudukan, atau kerana kepentingan tertentu.
Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah telah menyebut bahawa orang-orang yang di dunia ini berkasih sayang hanya kerana Allah, mereka ini akan duduk di bawah perlindungan ‘Arasy, di kala tidak ada perlindungan lain pada hari kiamat kelak.
Malah Rasulullah juga pernah bersabda:
Pada Hari Kiamat nanti akan ada satu golongan manusia yang bukannya golongan Nabi dan bukan juga golongan Syuhada’, namun dicemburui oleh kedua-dua golongan itu lantaran kedudukan mereka yang istimewa di sisi Allah.
Lalu para Sahabat pun bertanya, siapakah mereka itu Ya Rasulallah?
Baginda menjawab, mereka adalah orang-orang yang semasa di dunia ini berkasih sayang hanya kerana Allah.
The interesting part adalah, pada zaman ini kita sebenarnya masih lagi berupaya untuk mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah di akhirat nanti.
Kita tidak berupaya untuk menjadi nabi, dan kebanyakan dari kita tidak mampu atau takut untuk pergi berjihad dan kemudian gugur sebagai syuhada’.
Tetapi, untuk memperolehi seorang sahabat yang dengannya kita berkasih sayang hanya kerana Allah, sama sekali tidaklah sukar untuk dicapai...
- Menjaga air muka dan aib sahabatnya itu
Dalam hal ini, Rasulullah ada menerangkan,
Jika ada seseorang yang menceritakan keburukan sahabat engkau, maka pertahankanlah dia. Jika tidak ada alasan lagi untuk mempertahankannya, maka katakanlah engkau tidak mendengar dan melihat tentang apa yang diceritakannya itu.
Menjaga aib sesama manusia adalah sangat penting, lebih-lebih lagi terhadap sahabat kita sendiri, apatah lagi jika dia tiada di situ untuk mempertahankan dirinya.
Ingatlah bahawa Allah Yang Maha Besar, dengan sifat Ghafur yang dimilikiNya, telah menyatakan bahawa Dia akan menutupi aib orang yang menutup aib sesama manusia.
- Berziarah
Adalah diceritakan dalam sebuah hadis bahawa ada seorang lelaki yang sedang berjalan untuk menziarahi sahabatnya di sebuah tempat yang jauh, dan kemudian dia didatangi oleh seorang malaikat.
Malaikat itu bertanyakan kepadanya ke manakah dia pergi dan apakah tujuan perjalanannya, yang mana lelaki itu menjawab dia ingin pergi menziarahi sahabatnya dan tidaklah ada tujuan lain melainkan semata-mata untuk merapatkan ukhuwwah mereka.
Lalu, malaikat itu berkata, ‘Sesungguhnya aku pesuruh Allah dan datang memberikan penyaksian bahawa Allah amat menyayangi kamu kerana perbuatan kamu itu.’
Lagi di dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Tabrani, Allah menyatakan bahawa orang-orang yang mendapat kasih sayangNya adalah orang-orang yang berkasih sayang keranaNya, menziarahi sesama sendiri, bertukar-tukar pandangan, berpelukan dan bersalaman keranaNya.
Dalam hal ini, ada sesuatu yang menarik yang harus kita fikirkan sejenak.
Sentuhan adalah lambang kasih sayang. Apabila kita bersalaman dan berpelukan sesama sendiri, kita akan dapat merasakan kemesraan dengan sahabat tadi dan akan membawa kepada perhubungan yang lebih erat.
Tidak percaya? Cuba sendiri...
- Saling membantu antara satu sama lain.
Firman Allah SWT:
وَتَـعَـاوَنُـوا عَـلَى الْــبِرِّ وَالـتَّــقْـوَى وَلا تَـعَـاوَنُـوا عَـلَى الإثْــمِ وَالـْعُــدْوَانِ وَاتَّــقُــوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَــدِيــدُ الْـعِــقَـابِ
(٢)
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya”
(Surah Al-Maidah: 2)
Rasulullah pernah memberitahu para Sahabat, ‘tolonglah sahabat kamu dalam keadaan dizalimi dan menzalimi.’
Apabila ditanya tentang hal menzalimi tersebut, Rasulullah menjawab, ‘tolonglah dia menghentikan kezaliman itu.’
Dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa antara nilai persahabatan tertinggi adalah apabila kita mampu menghalang sahabat kita daripada melakukan kejahatan dan kezaliman.
Persahabatan bukanlah semata-mata bergembira dan bergelak ketawa bersama-sama, tetapi juga bermaksud tegur-menegur dan saling memperbaiki kualiti hidup, sikap dan ibadah kita.
- Menzahirkan kasih sayang.
Diriwayatkan pada zaman Rasulullah S.A.W. dua orang sahabat telah bertemu di sebuah pasar. Salah seorang daripada mereka berkata, ‘wahai sahabatku, aku sangat menyukaimu. Marilah kita pergi ke suatu tempat dan sama-sama kita berdoa semoga Allah memberkati kita dan persahabatan kita.’
Sahabat yang seorang lagi bersetuju dan bersama-sama mereka pergi dan berdoa kepada Allah SWT. Selepas itu kedua-dua sahabat itu pun berpisah atas urusan masing-masing.
Ditakdirkan Allah, salah seorang daripada sahabat itu meninggal dunia pada hari itu juga. Dan pada malam itu, sahabat yang masih hidup itu bermimpikan sahabatnya yang telah meninggal dunia itu datang kepadanya dan memberitahunya bahawa Allah telah mengampunkan dosa-dosanya atas penyaksian kasih sayang mereka berdua itu.
Penutup
Persahabatan Rasulullah SAW dengan sahabat-sahabat baginda adalah contoh terbaik yang boleh menjadi ikutan kita. Sehinggakan, baginda sudah dapat mengenali para sahabat hanya dengan bunyi tapak kaki mereka berjalan menghampiri baginda!
Kecintaan para Sahabat terhadap baginda, dan kecintaan baginda terhadap para Sahabat sememangnya tidak ada tolok bandingnya, yang tidak salah lagi, telah menjadikan mereka golongan terbaik yang pernah hidup di muka bumi ini.
Kuncinya?
Keikhlasan dan keimanan yang sungguh jitu kepada Allah, yang menjadi landasan dan pengikat kepada perhubungan mereka...
Justeru, marilah kita berfikir sejenak...
Adakah kita mempunyai seorang.. ataupun ramai sahabat yang bersama-samanya/mereka, kita berharap akan dibangkitkan dari kubur kelak? Dibangkitkan dalam keadaan yang sangat baik, sebagaimana Rasulullah SAW dibangkitkan bersama-sama Abu Bakar r.a di sebelah kanan baginda dan Umar Al-Khattab r.a di sebelah kirinya?
Atau adakah kita mempunyai seorang ataupun ramai sahabat di dunia ini, tetapi hanya akan menjadi musuh kita di hari akhirat kelak? Semata-mata kerana tidak ada keikhlasan dalam persahabatan kita dan jauh sekali daripada berniatkan semata-mata kerana Allah SWT?
Atau adakah kita terdiri daripada orang-orang yang sombong dan hebat di dunia ini, tidak memerlukan sahabat atau sesiapa pun, tetapi kelak akan dibangkitkan sebatang kara pada hari pembalasan nanti?!
Wallahua’lam...
Aidan Z
Tiada ulasan:
Catat Ulasan