Selasa, Mei 08, 2007

Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni ..


Tokgurukulan menulis :

Sejak akhir-akhir ini, rumah kami dibanjiri dengan buku-buku agama. Satu perkembangan yang baik! Mungkin juga penangan pesta buku di PWTC yang baru sahaja berakhir 6 Mei lepas. Meja di rumah kami seolah-olah menjadi pusat segala-galanya. Makan, membaca, menonton TV, dan bermacam-macam lagi (termasuk tidur ke? Hehe..).

Ok.. berbalik kepada buku-buku tadi, nama Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni telah acapkali disebut-sebut oleh beberapa orang daripada kami. Beliau cukup dikenali dengan buku 'La Tahzan' atau terjemahannya 'Jangan Bersedih' karangan beliau. Buku yang mendapat logo best seller ini telah diterbitkan oleh bermacam-macam penerbit dan sehingga sekarang, sudah diterjemahkan kepada 29 bahasa dunia. Setelah mendengar kemasyuran nama beliau, aku terpanggil untuk membaca karya beliau itu. Wah! Bahasanya begitu indah! Itu baru terjemahannya ke dalam bahasa Melayu. Jika dibaca karangan dalam bahasa asalnya, Arab, sudah pasti bahasanya lagi puitis dan menyentuh hati..

Untuk lebih mengenali beliau, aku merujuk beberapa lagi karangan beliau untuk mencari profil penulis ini. Cari punya cari, akhirnya, dalam buku 'Nabi Muhammad S.A.W Al-Quran Berjalan, Rahmat Bagi Seluruh Alam', ku temukan sedikit mengenai latar belakang beliau..

Dipetik daripada buku tersebut : "'Aidh bin Abdullah bin 'Aidh berasal daripada zuriat suku Al-Qarni. Beliau lahir pada tahun 1379 H di kampung Al-Qarn, di bahagian selatan negara Arab Saudi. Beliau belajar di Universiti Islam Imam Muhammad bin Su'ud pada tahun 1403-1404 H, dan berjaya mendapat ijazah sarjana muda dalam jurusan Usuluddin. Kemudian pada tahun 1408 H, beliau telah berjaya mendapat sarjana penuh (M.A) dengan tesis bertajuk 'Bid'ah dan Pengaruhnya Terhadap Dirayah dan Riwayah. Kemudian, pada tahun 1422 H, beliau berjaya mendapat doktor (PhD) daripada universiti yang sama menerusi tesis beliau yang bertajuk 'Kajian dan Analisis Ke Atas Buku 'Al-Mufham 'ala Shahih Muslim' oleh Al-qurtubi'.' Selain yang demikian, beliau juga telah mengeluarkan 800 kaset keISLAMan yang berupa rakaman pidato, pengajaran, ceramah, juga simposium puisi dan bengkel sastera. Beliau hafaz Al-Quran (Al-Hafiz) dan kitab (hadith) 'Bulugh al-Maram'. Beliau hafaz hampir 5,000 hadith dan lebih 10,000 bait syair.."

Tiada ulasan:

Template ini disediakan oleh Tokgurukulan